jobs from my.neuvoo.com

10 Februari, 2016

Ahli Parlimen PAS Tonton Video Lucah Di Jerman?

KUALA LUMPUR – PAS memang bukan ahli Pakatan Harapan dan ia musuh ketat DAP, namun penyebaran fitnah mengenai seorang pemimpin PAS yang menonton video lucah anehnya dinafikan oleh bekas rakan sekutunya itu.

Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera, Zairil Khir Johari berkata meskipun parti mereka berbeza dan bermusuhan, tetapi beliau tidak akan memburukkan nama mana-mana pemimpin dengan cara yang kotor demi raih populariti.

“Tidak benar! Walaupun saya tidak sehaluan dengan Nasruddin dari segi politik, saya tidak setuju dengan cara mengaibkan orang secara peribadi macam ini,” katanya menerusi mesej Whatsapp kepada portal BNBBC.my.

Terdahulu, sebuah laman blog pro-Parti Amanah Negara (PAN), Alhusseyn51 dalam artikelnya dua minggu lalu mendakwa, terdapat seorang Ahli Parlimen PAS tidak membuat bayaran setelah menonton siaran porno berbayar.

Kejadian memalukan itu terbongkar menerusi kenyataan butiran pada caj bayaran tambahan sewa bilik hotel penginapannya sewaktu lawatan kerja beberapa wakil anggota parlimen Malaysia ke Jerman dua tahun lalu.

Walaupun tidak menamakan siapakah wakil rakyat PAS tersebut di dalam entrinya, penulis blog berkenaan seakan-akan memberikan pembayang dengan menamakan kesemua nama ahli delegasi jemputan yang terlibat.

Lawatan tersebut sebenarnya adalah di bawah program jemputan rasmi anjuran Kerajaan Jerman pada Januari 2014 yang bertemakan “Pemisahan Kuasa dan Peranan Pembuat Dasar Menurut Demokrasi Berparlimen”.

Antara delegasi ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri; Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Datuk Koh Nai Kwong mewakili BN.

Manakala jemputan kepada pihak pembangkang Malaysia telah diwakili masing-masing oleh Fuziah Salleh daripada PKR, Nasruddin Hassan yang mewakili PAS dan DAP dengan diwakili Zairil Khir Johari.

Menurut blog yang mesra PAN tersebut, wakil PAS itu dikatakan gagal menghadirkan diri sewaktu program lawatan selain mesyuarat dijadualkan kerana dilaporkan demam dan beliau hanya berehat di dalam bilik.

Blog berkenaan turut mendakwa wakil DAP sebagai berasa terkejut apabila mendapati bil hotel tertera caj yang dikenakan ke atas bilik wakil PAS itu kerana menonton filem porno sewaktu mereka sibuk mendaftar keluar.

Namun, ketika ditanya semula oleh portal BNBBC.my. sama ada memang benar wakil PAS tersebut gagal menghadirkan diri ke mesyuarat berkenaan, Zairil dilaporkan sebagai enggan mengulas dengan lebih lanjut.

Dalam masa yang sama, BNBBC.my turut cuba berusaha mendapatkan komen balas terus daripada ‘mulut’ Nasruddin sendiri, tetapi setakat ini gagal dihubungi. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA


EmoticonEmoticon