jobs from my.neuvoo.com

13 Februari, 2016

Aziz M. Osman nafi masuk PAS, tidak tolak kemungkinan filemkan Nik Aziz

KUALA LUMPUR - Pengarah terkenal tanah air, Aziz M Osman hari ini menafikan dirinya menyertai Pas.

Menurut Aziz, meskipun beliau memandang tinggi perjuangan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, tidak terfikir olehnya untuk menyertai parti itu kerana beliau tidak meminati bidang politik.

"Saya bukan ahli Pas. Saya tidak terlibat dengan dunia politik. Saya tidak tahu tentang politik dan saya tidak baca surat khabar (untuk tahu tentang politik).

"Saya hanya cuba menjadi seorang yang positif sejak saya balik daripada misi kemanusiaan di Syria," katanya ketika ditemui di program Mengenang Murobbi Ummah, di Myharakah Bazaar, di sini, hari ini.

Aziz yang segak mengenakan baju Melayu hitam hari ini mencuri perhatian petugas media, sekaligus menimbulkan persoalan tentang keberadaannya di pentas Pas.

Menjelaskan sebab sebenar beliau berada di pentas Pas hari ini, Aziz berkata, beliau berada di situ untuk menceritakan pengalaman peribadinya bersama Allahyarham.

Selain itu, beliau juga turut mengambil kesempatan menggunakan platform itu untuk menceritakan pengalamannya membantu mangsa-mangsa peperangan di Syria.

Beliau juga mendakwa impiannya untuk membuat filem mengenai Allahyarhgam dapat direalisasikan sekiranya masyarakat negara ini bersatu dari segi hati dan pemikiran.

"Kenapa tidak (saya buat filem tentang Allahyarham)? Ia tidak mustahil dapat dilakukan. Dan kalau saya mahu buat filem tentang Allahyarham, saya mahu ceritakan bagaimana Allahyarham mendidik kita semua dalam soal hudud.

"Meskipun negara kita tidak mengamalkan hudud, tetapi Allahyarham sudahpun mengamalkan hudud secara psikologi," katanya ketika ditemui pemberita selepas program Mengenang Murobbi Ummah, di Myharakah Bazaar, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai siapa yang akan didekati untuk menghuraikan perwatakan Allahyarham dalam filem itu, Aziz berkata, dia mungkin akan melihat dari sudut pandangannya sendiri memandangnya raut wajah Allahyarham seiras dengan bapanya.

"Itu saya tidak tahu lagi. Mungkin saya akan melihatnya dari sudut peribadi sendiri atau mungkin tidak. Kalau ada rezeki suatu hari nanti, InsyaALLAH saya akan buat filem Allahyarham," jelasnya lagi.

.


EmoticonEmoticon