jobs from my.neuvoo.com

25 Februari, 2016

Berang isteri dedah aurat, wanita ditumbuk suami

Sekadar foto hiasan
REMBAU – Gara-gara berang dengan sikap si isteri yang keluar rumah tanpa memakai tudung, seorang suami telah bertindak di luar dugaan dengan menumbuk muka isteri dan memukul isterinya dalam kejadian di sebuah taman perumahan di Chembong, di sini, 19 Februari lalu.

Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, mangsa berusia lingkungan awal 20-an nekad membuat laporan polis di Balai Polis Chembong kelmarin susulan bukan hanya ditumbuk, bahkan dipukul di bahagian kaki dengan menggunakan batang besi katil.

Menurut sumber, semasa kejadian, pasangan suami isteri berkenaan bertengkar disebabkan sikap si isteri yang keluar dari rumah tanpa memakai tudung.

“Ketika kejadian tiada ahli keluarga lain berada di rumah dan si isteri mendakwa kejadian berkenaan bukanlah kali pertama kerana suaminya kerap memukulnya sebelum ini. Bimbang dengan keselamatan diri, si isteri akhirnya nekad membuat laporan polis beberapa hari selepas kejadian.

“Mangsa telah menjalani pemeriksaan kesihatan dan mendapati terdapat kesan lebam di bahagian yang ditumbuk dan dipukul suami mangsa,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Ibrahim Sharif mengesahkan kejadian berkenaan dan menyatakan kes kini disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Menurutnya, suspek yang merupakan pekerja kilang dan berusia lingkungan 20-an ditahan reman selama tiga hari bermula semalam hingga 26 Februari ini.


EmoticonEmoticon