jobs from my.neuvoo.com

11 Februari, 2016

Berpantang dalam bilik darjah

Mohd Salman (berdiri, tiga dari kiri) bersama ahli Briged Sukarelawan Media Prima-NSTP menyampaikan sumbangan kepada Maszira bersama bayinya, Putri Az-Zafira Zuraidi, semalam.
Alor Gajah: “Berpantang di rumah lebih selesa berbanding di pusat pemindahan, namun apakan daya, tiga lagi anak turut memerlukan penjagaan,” kata mangsa banjir, Maszira Othman, 26, yang baru lapan hari melahirkan anak keempat dan terpaksa berpantang di Pusat Pemindahan Banjir Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam, di sini, semalam.

Maszira berkata, dia melahirkan anak perempuannya pada 2 Februari lalu di Hospital Alor Gajah iaitu sehari sebelum banjir melanda.

Katanya, pada 8 Februari lalu, dia diberi kebenaran keluar hospital sebelum menetap di pusat pemindahan banjir berkenaan.

“Saya reda berpantang dalam keadaan serba kekurangan asalkan tiga lagi anak berusia setahun hingga tiga tahun selamat.

“Pihak Hospital Alor Gajah ada menawarkan tinggal di hospital lebih lama, namun saya bimbang keselamatan mereka menyebabkan saya sanggup berpindah ke sini.

“Memang banyak kekurangan berpantang di sini, malah untuk ke tandas, saya terpaksa berjalan jauh berikutan tiada bekalan air di bangunan yang saya duduki, namun saya gagahkan diri,” katanya pada kunjungan Briged Sukarelawan Media Prima Berhad diwakili Ketua Biro Harian Metro Melaka Mohd Salman Hamat.

Maszira berkata, ini kali kedua dia tinggal di pusat pemindahan itu. Kali pertama ialah pada Disember lalu ketika dia sarat mengandung.

Menurutnya, sepanjang berada di pusat pemindahan itu, ibunya, Abidah Maurob, 59, membantu menguruskannya serta anak-anak.

“Saya berharap dapat pulang ke rumah di Kampung Belimbing Dalam dalam masa terdekat. Banjir separas dada yang melanda kampung kami pada 6 Februari lalu menyebabkan rumah kotor, selain banyak barangan rosak.

“Suami, Zuraidi Mohd, 32, mengemas rumah dan apabila semuanya selesai, kami semua mahu pulang dan meneruskan kehidupan seperti biasa,” katanya.

Terdahulu, Briged Sukarelawan Media Prima Berhad menyampaikan sumbangan kepada 14 keluarga mangsa banjir di pusat pemindahan banjir berkenaan.

Setiap keluarga menerima kit keperluan dan sumbangan susulan akan diberi kepada mangsa banjir di kawasan sama.


EmoticonEmoticon