jobs from my.neuvoo.com

08 Februari, 2016

'Debat' yang tak jadi: Shahidan dah bagi 7 tarikh untuk Zamihan pilih.. - Mufti Perlis

SHAH ALAM - Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, beliau beberapa kali menyertai diskusi 'panas' sebelum ini, tetapi sejak memegang jawatan Mufti Perlis beliau cuba mengelak untuk diskusi seperti itu.

Katanya, penyertaan beliau dalam diskusi panas kurang sesuai selepas beliau memegang jawatan agama.

"Rasa kurang sesuai. Walaupun saya tahu Presiden Aswaja, Zamihan Mat Zin itu sering mencabar saya berdebat, bahkan menyatakan akan datang ke Perlis untuk berdebat. Di zaman teknologi ini rakyat Malaysia boleh menonton sendiri bahasa dan cara beliau.

"Namun, pada 4hb yang lepas, apabila Zamihan membuat cabaran lagi untuk berdebat dengan saya pada bila-bila masa, di mana sahaja, siapa sahaja peserta dan apa sahaja formatnya, saya rasa beliau sudah terlalu melampau mencari perbalahan.

"Beliau juga menyuruh saya letak jawatan mufti jika tewas dengan beliau. Apatah lagi beliau menggunakan tiket Kementerian Dalam Negeri untuk melabel pihak itu dan ini...kebetulan Datuk Seri Shahidan Kassim mengatur satu diskusi antara saya dengan beliau, maka saya membuat keputusan untuk setuju," katanya dalam entri terbaharu di Facebooknya hari ini.

Namun ujarnya, secara tiba tiba Zamihan pula tidak bersetuju. Kononnya ada program dengan banduan pada tarikh berkenaan.
"Saya tertanya; beliau yang sebut dahulu 24 jam, sepatutnya tiada alasan. Tidak bolehkah minta pihak banduan jangan ke mana-mana selepas 10hb untuk program gantian. Saya tidak fikir banduan terlalu sibuk dengan banyak urusan dalam penjara tersebut.

"Sekarang banyak pula syarat-syarat baru termasuk persetujuan pihak berkuasa agama tempatan dan seumpamanya. Saya bertambah hairan," katanya.

Katanya lagi, Shahidan nampaknya memberikan tarikh alternatif yang baru untuk Zamihan pilih iaitu 11, 12, 13, 14, 15, 16 dan 17hb.
"Walaupun sebenarnya pada 13 dan 14 saya dititahkan mengiringi DYTM Raja Muda Perlis (Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail) ke dua buah universiti di Thailand. Pun begitu, memandangkan Zamihan sering menuduh pelbagai pihak dengan isu keganasan ini, maka ingin menyatakan saya bersetuju dengan salah satu tarikh berkenaan.

"Saya akan memohon keuzuran dari DYTM Raja Muda Perlis jika ditakdirkan Zamihan pilih 13 ataupun 14. Apa yang penting, hasrat yang sekian lama beliau canangkan itu, saya tunaikan insha-ALLAH," katanya.

Asri berkata, namun selepas tarikh 17hb berkenaan, jika Zamihan masih tidak mahu, beliau anggap 'tutup kes'.

"Saya akan banyak ke luar negara selepas itu. Saya harap beliau berhentilah mencerca sesama Muslim seperti yang selalu kita saksikan dalam video-videonya. Jika beliau tidak mahu dialog, saya tidak memaksa. Beliau yang sebenarnya memulakan idea ini.

"Marilah kita hidup secara harmoni walaupun kita berbeza. Agama tidak menyuruh kita seragam dalam semua perkara tapi menyuruh kita tahu menguruskan perbezaan," katanya.

Terdahulu Zamihan dan Asri bakal disatukan di atas pentas diskusi bagi berdebat mengenai ekstrimism di Malaysia yang dijadualkan pada Rabu ini, namun mungkin ditunda selepas Zamihan memberitahu pada tarikh itu beliau mempunyai tugasan yang telah ditetapkan lebih awal di Penjara Machang, Kelantan untuk memulihkan penjenayah tegar.

Namun begitu, Zamihan berkata beliau akan berbincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim bagi menetapkan tarikh sesuai dalam minggu ketiga bulan Februari.

“Saya tidak pernah gentar untuk berdepan dengan sesiapa pun. Saya janji akan mengemukakan bukti-bukti autentik tentang esktremisme fahaman wahabi, Insya-ALLAH,” kata Zamihan.


EmoticonEmoticon