jobs from my.neuvoo.com

12 Februari, 2016

Diperkosa jiran: Ibu sangka anak bergurau

BANDAR SERI JEMPOL - Pada mulanya seorang ibu menyangkakan pengakuan anaknya bahawa dia dirogol jiran, hanya main-main.

Namun sangkaan itu meleset apabila mendapati anak sulungnya yang juga seorang kurang upaya (OKU) mengandung tiga bulan.

Mangsa berusia 37 tahun mendakwa kejadian berlaku November lalu dan memberitahu ibunya dia dirogol lelaki berusia 50-an yang merupakan jirannya di Felda Palong.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, ibu mangsa bagaimanapun memarahinya kerana menyangka anaknya hanya main-main.

“Tapi setelah nampak perubahan fizikal pada anaknya dan tabiat suka makan asam, ibunya menggesa anak perempuannya yang lain bantu mangsa membuat ujian kehamilan.

“Ujian kehamilan pada Isnin lalu sekitar jam 2.30 petang mendapati anaknya itu positif (mengandung).

“Ujian pengesahan kemudiannya dijalankan di Hospital Jempol dan Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, mendapati anaknya mengandung tiga bulan,” katanya selepas mengesahkan laporan, semalam.

Noorzainy berkata, berdasarkan siasatan lanjut, mangsa pernah melahirkan anak (tiga orang) yang juga dipercayai dirogol oleh suspek lain.

“Anak pertama dijaga ibu mangsa yang kini berusia 12 tahun, manakala kedua dan ketiga diserahkan kepada keluarga angkat.

“Kes ini bagaimanapun masih dalam siasatan polis di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.

Ibu mangsa telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada Isnin lalu kira-kira jam 6.15 petang di Balai Polis Ladang Geddes.

Sekitar jam 3 petang semalam, suspek telah datang menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol.


EmoticonEmoticon