jobs from my.neuvoo.com

20 Februari, 2016

Fitnah dasyat wanita bunuh anak, tembak diri sendiri akhirnya terbongkar

JITRA - Gambar seorang wanita dan kanak-kanak yang maut akibat ditembak di Kampung Tok Jalai, mukim Bukit Tinggi Jitra, seperti yang viral di media sosial semalam adalah palsu.

Bapa kepada wanita yang kononnya mangsa kejadian, Juhari Othman, 62, berkata, gambar wanita dan kanak-kanak yang berlumuran darah itu bukan anak dan cucunya.

Juhari berkata, beliau hairan bagaimana Mykad anaknya, Nurulhuda, 33, boleh diviralkan bersama gambar kejadian berkenaan.

“Anak saya di tempat kerja dan cucu saya berada di rumah ketika saudara-mara menghubungi saya untuk kepastian mengenai gambar yang tersebar itu,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tok Jalai, Jitra, semalam.

Dalam viral semalam, tersebar lima keping gambar menunjukkan gambar wanita dan kanak-kanak terbaring berlumuran darah.

Keterangan gambar pula menyebut: "Seorang isteri menembak dirinya dan anak lelaki selepas bergaduh dgn (dengan) suami akibat terlalu mrh (marah) suami suke (suka) berfoya foya dgn (dengan) pmpn (perempuan) lain..."

Sementara itu, Bedah Husin, 61, berkata, kanak-kanak dalam gambar tersebut jelas bukan cucunya berdasarkan ciri-ciri fizikal.

“Kanak-kanak lelaki itu turut memakai tali di tangan kanan yang jelas menunjukkan dia bukan beragama Islam,” katanya sambil memeluk cucunya, Hafiy Hariz Izwan, 6.

Bedah berkata, anaknya seorang kakitangan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) berhasrat membuat laporan di balai polis berdekatan susulan penyalahgunaan kad pengenalan diri miliknya itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Abd Rahim Abdullah ketika dihubungi berkata, terdapat satu laporan penafian berhubung kes yang viral itu, oleh seorang lelaki berikutan didakwa berkahwin dan akibat tingkah lakunya, isterinya menembak anak mereka dan membunuh diri.

“Lelaki terbabit turut melaporkan bahawa gambar kad pengenalan dirinya turut dimuat naik di Facebook,” katanya.

Abd Rahim berkata, lelaki terbabit turut mengatakan dia tidak mempunyai sebarang hubungan dengan wanita yang didakwa sebagai isterinya dalam viral itu dan berhasrat ingin membersihkan namanya.


EmoticonEmoticon