jobs from my.neuvoo.com

05 Februari, 2016

Henti promosi Islam dengan 'potong tangan, rejam' di Malaysia - Mufti Perlis

KUALA LUMPUR – Mufti Perlis mahu semua pihak berhenti daripada mendesak undang-undang Islam membabitkan potong tangan ke atas pencuri dan rejam ke atas penzina dilaksanakan di Malaysia.

Prof Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin malah berkata, undang-undang tersebut bersifat kontekstual dan mempunyai pra-syarat yang tidak dapat diwujudkan oleh umat Islam berdasarkan suasana semasa.

Tegas beliau, fokus umat Islam masa kini adalah membangunkan kekuatan di sudut penghayatan agama dan imej Islam yang baik di mata masyarakat dunia, bukan berkempen kepada undang-undang yang bersifat tidak kondusif.

“Promosi Islam hendaklah dilakukan dengan berkesan di setiap peringkat dengan memberikan tumpuan kepada nilai-nilai mulia dan beradaban yang tinggi yang diajar oleh Islam.

“Bukannya berkempen kepada undang-undang yang bersifat kontekstual yang tidak kondusif pada zaman ini,” tegasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Mohd. Asri dalam pada itu berkata, umat Islam khususnya mereka merupakan minoriti dalam sesebuah negara perlu berhenti menyeru kepada pembentukan negara Islam atau undang-undang Islam yang bersifat penguasaan ke atas pihak yang lain. – Mynewshub.cc


EmoticonEmoticon