jobs from my.neuvoo.com

20 Februari, 2016

Hilang kepercayaan, Guan Eng tamatkan khidmat dua Adun PKR


SHAH ALAM - Dua daripada lima wakil rakyat PKR yang tidak mengundi dalam usul tambakan laut pada sidang Dun Pulau Pinang tahun lalu ditamatkan perkhidmatan sebagai pengarah dalam syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) negeri itu.

Memetik laporan sebuah portal, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, pihaknya sudah tidak mempunyai keyakinan dua Adun tersebut dapat berfungsi secara profesional dan berkesan.

“Apabila anda hilang keyakinan terhadap seseorang yang bersetuju dengan anda dan kemudian memungkiri janji mereka, bagaimana mereka boleh berfungsi dengan berkesan dan secara profesional, terutamanya apabila saya jadi pengerusi,” katanya.

Adun Bukit Tengah, Ong Chin Wen, telah ditamatkan khidmatnya sebagai pengarah Penang Invest dan Island Golf Properties Bhd, sebuah anak syarikat Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.

Sementara Adun Kebun Bunga, Cheah Kah Peng ditamatkan khidmatnya sebagai pengarah di Perbadanan Bukit Bendera.

Namun menurut Guan Eng, tiga lagi Adun PKR, Lee Khai Loon (Machang Bubok), T Jayabalan (Batu Uban) dan Norlela Ariffin (Penanti) yang juga berkecuali daripada mengundi menentang usul Umno itu tidak terjejas.

Chin Wen mengesahkan menerima surat penamatan khidmatnya itu tetapi enggan mengulas lanjut sementara Kah Peng masih belum mengulas mengenai perkara itu.

Guan Eng menjelaskan bahawa kedua-duanya menimbulkan kemarahan rakan-rakan mereka dalam kerajaan negeri apabila mereka sebelum ini telah bersetuju untuk tidak menyokong usul Umno, yang dibentangkan oleh Adun Pulau Betong, Muhammad Farid Saad November tahun lepas.

"Mereka kemudiannya menikam kami dari belakang apabila mereka berkecuali daripada mengundi menentang usul itu.

"Sekarang, kita tidak yakin mereka akan dapat berfungsi secara profesional dan berkesan dan jika saya, sebagai seorang pengerusi, tidak mempunyai keyakinan terhadap anda, maka anda perlu tahulah apa yang patut dibuat," katanya.

Sebelum ini, Chin Wen yang juga Whip PKR di Dewan Undangan Negeri berkata mereka mengundi berdasarkan suara hati, manakala Kah Peng ketika berucap di konvensyen PKR di Selangor berkata wakil PKR akan terus mempertahankan kepentingan awam.

Memetik laporan sama, Guan Eng berkata kedua-duanya telah dimaklumkan mengenai keputusan itu pada bulan Januari dan ia juga telah dibangkit dan dibincangkan dalam mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang.


EmoticonEmoticon