jobs from my.neuvoo.com

04 Februari, 2016

Hubungan seks pula jadi punca

MIAMI – Kes pertama virus Zika yang disebarkan melalui hubungan seks dilaporkan berlaku di sebuah daerah di Texas, Amerika Syarikat (AS); sesuatu cukup pelik dan amat janggal dalam dunia perubatan moden sendiri.

Ini sekali gus mencetuskan kebimbangan baharu mengenai cara alternatif penularan virus bawaan nyamuk Aedes itu, yang lazimnya dikaitkan dengan denggi tetapi kini mengakibatkan mangsa bayi mengalami kecacatan kepala.

Menurut satu kenyataan pihak Dallas County, ia telah menerima pengesahan dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (CDC) mengenai kes pertama jangkitan virus Zika menerusi hubungan seks pada 2016.

Ia menambah bahawa pesakit itu dijangkiti virus Zika selepas mengadakan hubungan seks dengan seorang pesakit, yang baharu sahaja pulang dari sebuah negara di benua Amerika Selatan yang terjejas teruk dengan virus Zika.

Pada bulan lalu, CDC menyatakan bahawa pihaknya telah dimaklumkan mengenai satu kes virus Zika yang disebarkan melalui hubungan kelamin sedemikian sebelum melakukan proses siasatan lebih lanjut.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan darurat antarabangsa berikutan penularan virus Zika dan menganggarkan mungkin terdapat empat juta kes berikutan tiada lagi penawar berkesan bagi menanganinya.

Agensi di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu itu dalam kenyataan pada Selasa membuat pengisytiharan tersebut selepas mesyuarat tergempar pakar bebas di Geneva ekoran peningkatan kes Zika sejak awal tahun ini di Brazil.

Ia kini dilaporkan mula merebak di AS dan beberapa buah negara di Amerika Latin. Virus Zika yang dibawa nyamuk Aedes dikaitkan dengan beribu-ribu kes saiz otak lebih kecil daripada biasa pada bayi baru lahir.

Dalam pada itu, dua penduduk awam di Sydney yang baharu pulang dari percutian mereka di rantau Caribbean, disahkan telah dijangkiti virus Zika, demikian menurut kenyataan para pegawai kesihatan Australia.

Pejabat Kesihatan New South Wales memberitahu agensi berita BBC bahawa lelaki dan wanita yang dijangkiti virus tersebut kenal satu sama lain, sebelum mereka diuji sebagai positif Zika pada Jumaat lalu.

Menurut pihak berkuasa New South Wales, seorang pelancong diuji positif selepas ke Soloman Islands pada tahun lalu, manakala lagi empat orang diuji positif selepas mereka pulang dari Cook Islands pada tahun 2014.

Sementara itu, seorang rakyat Australia, Daniel Gaunt, 27; pernah dijangkiti virus Zika selepas digigit monyet dan nyamuk di pulau Bali, Indonesia pada 2013 menggesa pelancong supaya mengambil langkah berjaga-jaga.

– Agensi/Mynewshub.cc/HAA


EmoticonEmoticon