jobs from my.neuvoo.com

29 Februari, 2016

'Hubungan sulit kakak ipar, aku yang jadi mangsa'

“SAYA memulakan masalah yang saya hadapi ini dengan bertanya kepada pembaca, ‘jika berlaku perbuatan kurang manis dalam keluarga anda, contoh, ipar perempuan anda ada hubungan sulit, atau seumpamanya, sedangkan dia sudah bersuami, adakah anda patut menasihatinya? Jika jawapan anda patut menasihatinya, maka anda mesti lebih berhati-hati, supaya anda tidak dilanda masalah kemudian hari.

“Saya nasihatkan anda jangan cuba menasihati, mendengar cerita pun jangan, sebab jika tersalah langkah anda dipersalahkan, dan rumah tangga anda jadi mangsa, semuanya kerana anda dengar ceritanya, akhirnya anda dituduh menabur fitnah.’’ Itu cerita Ezzara dalam e-melnya.

“Saya bersyukur kerana diterima dengan baik masuk ke dalam keluarga suami saya yang mempunyai tiga orang adik-beradik perempuan dan dua lelaki termasuk suami saya. Oleh kerana kehadiran saya diterima baik, maka saya cuba sebaik-baik mungkin mengeratkan lagi hubungan antara keluarga beripar duai ini.

“Dua kakak ipar sudah berkahwin. Walaupun bergelar kakak ipar, tetapi kakak kedua sebaya saya. Sudah berkahwin dan ada dua orang anak. Sementara kakak pertama ada tiga orang anak yang sudah remaja. Oleh sebab kami tinggal berjauhan, maka sudah pasti hubungan kami baik, kerana saya pun tidak ambil tahu tentang masalah mereka.

“Nak dijadikan cerita lebih setahun lalu, saya melihat perubahan hidup kakak kedua yang saya namakan Nora. Saya lihat dia semakin bergaya bukan setakat berpakaian, sebaliknya, tudung dan lebih jelas potongan badan sudah semakin mengecil, dan wajah semakin gebu, cerah dan bergaya sakan. Sudah lama saya hendak tanya, tetapi tak berani, sebab mulutnya boleh tahan, kalau silap cakap pasti kena smash. Saya hanya pandang dan diam sahaja.

“Tetapi ketika majlis pertunangan adik ipar saya Jue, lepas raya tahun lalu tentulah ramai sanak saudara datang sama-sama meraikan majlis, maklum anak perempuan bongsu emak mentua saya. Ketika itulah saya terdengar beberapa orang saudara mara mentua saya turut terkejut dan memuji kecantikan Nora.

“Kalaupun ada sepupu sepapat takut menegur Nora tetapi makcik (Acik) Mah memang berani bertanya, Nora jawab juga, sambil menjawab Nora menyindir sepupu lain, kata Nora “Ha! Tahu pun memuji! Tahu pun aku cantik kan? Tapi cantik ini bukan percuma tau! Banyak duit laki aku labur supaya aku cantik tau! Hah! Kalau nak cantik aku boleh ajar? Acik Mah pun boleh cantik! taklah sampai tembam macam tu! Bila dah cantik, ramai duda masuk meminang!’’

“Sepupu yang lain terdiam, tetapi Acik Mah yang laser juga mulutnya, terus berkata. “Allah! Buat apa cantik Nora? Lebih baik aku melabur tambah saham akhirat, daripada melabur buat dosa? Terkedu orang lain mendengar jawapan Acik Mah. Tapi Nora menjawab. “Allah Acik Mah! Saya ajar orang cantik dapat juga pahala, rumah tangga mereka aman, suami gembira. Daripada Acik Mah duduk rumah, tetapi mengumpat. Mengumpat tu berdosa tau?” kata Nora berlalu.

“Saya yang mendengar tak tahu hujung pangkal, terdiam. Tetapi sepupu lain berbisik-bisik. Fikir saya setakat itulah cerita petang tu berakhir. Tetapi malamnya setelah semua tetamu pulang, Nora naik angin dia terus ajak suaminya pulang. Walaupun rumahnya kurang lebih 15 km dari rumah mentua. Dia hot hari tu, langsung tak bantu bersihkan rumah, sebaliknya berbual dengan kawan rapatnya yang hadir sama. Kawannya juga cantik bergaya.

“Tak tahulah siapa tiru siapa, tetapi fesyen jubah mereka memang up-to-date. Katanya jubah, tetapi macam gaun malam, ramping dipinggang, ketat di dada dan di tangan. Tudung berbelit berbunga tak usah ceritalah.

“Kalau dilihat daripada gaya berpakaian Nora memang mewah. Tetapi peliknya suami Nora bukan bergaji besar. Tetapi kata mak mentua, Nora rajin berniaga jual pakaian dan barangan make-up sebab tu dia banyak duit dan kena bergaya. Katanya lagi, Nora kerap melancong ke luar negara, beli kain untuk buat pakaian dan tudung. Kawannya juga pandai menjahit, mereka rakan kongsi, kira-kira gitu kata mentua saya.

Terbongkar

“Saya terdiam dan mengangguk saja apa kata mentua, tetapi rasanya saya pun memang tak mampu berpakaian seperti Nora, walaupun saya bekerja dan lulusan U. Tetapi saya diamkan saja sebab saya tahu Nora tak ada tanggungjawab seperti saya kerana sebagai anak sulung, saya ada dua orang lagi adik yang masih belajar. Setiap bulan saya hantar emak saya duit buat bantu adik-adik. Selain mengurus dua orang anak yang membesar dan perlukan penjagaan.

“Walaupun kami suami isteri bekerja, tetapi perbelanjaan duduk di bandar memang tinggi, ansuran rumah, ansuran dua buah kereta yang masih terhutang, perbelanjaan sekolah, tadika, pengangkutan dan penjagaan pengasuh mesti dibereskan. Pendek kata, setiap bulan tak banyak dapat saya simpan kecuali bayar ansuran bank ASB, insurans anak-anak dan sebagainya.

“Nak jadikan cerita setelah balik ke rumah saya dapat panggilan daripada sepupu suami, Haiza namanya. Mulanya memang saya tak jawab sebab nombor tak dikenali, tetapi setelah dia hantar SMS dan terangkan siapa dirinya sebenar, barulah saya jawab.

“Awalnya kami berbual pasal pertunangan Jue dan kemudiannya melarat kepada cerita Acik Mah smash Nora. Pada saya cerita itu cuma benda biasa sahaja, gurauan antara mak saudara dan anak saudara. Tetapi ada cerita menarik di sebalik apa yang berlaku. Kata Haiza, Acik Mah memang nak smash Nora, sebab Acik Mah dengar cerita kurang manis tentang Nora. Tetapi Acik Mah tak tahu cerita lebih jelas. Dia dengar-dengar aja. Sebab tak ada sepupu mereka berani buka mulut, takutkan Nora. Lagipun Acik Mah tak boleh simpan rahsia. Jadi mereka diam.

“Acik Mah tak berkenan perangai Nora kerana pakaiannya, suka berjalan ke hulur ke hilir dengan alasan berniaga. Kebetulan anak-anak Nora sama kelas dan sekolah dengan cucu Acik Mah. Anak Nora sendiri bercerita tentang ibu mereka. Mentua saya tahu perangai Nora, tetapi tak berani tegur. Salah cakap nanti kena smash dengan Nora. Jadi baik diam!

“Kata Haiza sebenarnya Nora ada teman lelaki istimewa. Berdebar jantung saya. Haiza suruh saya nasihatkan Nora. Nak mampus! Mati balik hidup saya tak akan buat. Pertama kerana ceritanya tak pasti, kedua saya tak mahu rosakkan hubungan saya dengan keluarga mentua, dan ketiga suami saya pasti tidak percaya benda “bodoh” macam tu.

“Menurut Haiza dia bukan buat cerita, tetapi dia sendiri tahu sebab dia dan Nora sebaya dan mereka sama belajar di sekolah menengah dahulu. Punca cerita Nora terbongkar bila seorang wanita nama Siti telefon Haiza minta Haiza nasihatkan Nora jangan ganggu rumah tangganya. Siti mengaku isteri Farid. Farid adalah kawan Haiza dan Nora, dulu mereka satu sekolah, mereka berjumpa dalam satu majlis reunion sekolah setahun lebih dahulu.

“Sejak itu hubungan Fandi dengan Nora menjadi erat, sebab mereka kekasih lama. Mereka asalnya nak kahwin, tetapi ketika itu Fandi tak ada kerja. Nora ketika itu jadi kerani di sebuah syarikat. Dan Nora jatuh cinta dengan salah seorang petugas di syarikat yang sama, suaminya sekarang. Ketika bertemu kembali dalam majlis reunion itulah cinta mereka kembali berputik dan bertambah mekar. Sebab sekarang Fandi dah jadi kontraktor.

“Sejak pertemuan itu keadaan Nora tiba-tiba aktif bisnes. Tak tahulah dari mana dia dapat banyak modal buat bisnes. Penampilan dia juga banyak berubah. Pakaiannya nak kata jubah bukan jubah, tetapi macam pakaian petang artis Hollywood berjalan atas red carpet.

“Berbulan lamanya Haiza minta saya nasihati Nora. Tetapi saya tolak. Sebaliknya saya minta dia bercakap dengan kakak ipar pertama saya. Satu hari saya dapat panggilan telefon daripada kak ipar pertama. Dia tanya apakah benar cerita yang dia dengar tentang Nora. Saya kata tak tahu tetapi itulah cerita yang Haiza ceritakan pada saya. Malangnya kak ipar minta saya sendiri nasihatkan Nora konon saya kenal isteri Fandi. Terkejut beruk saya. Saya ceritakan apa yang Haiza cerita. Bukan saya buat cerita.

“Malang sekali tak lama kemudian saya kena smash dengan Nora, dia nasihatkan saya jangan cuba nasihatkan dia, kalau saya tak pandai jaga diri takut suami saya pulak cari wanita lain. Jadi jangan rosakkan rumah tangganya. Terkejut saya. Cerita sudah bertukar 360 darjah. Saya cuba telefon dan bertanya pada kak ipar dan Haiza tetapi mereka tak jawap panggilan saya. Sekarang saya terpanggang. Keadaan jadi bertambah genting bila saya turut menerima amaran daripada suami dan mak mentua.

“Sungguh saya tak sangka, akibat dengar cerita orang, kini saya pulak kena “panggang” seolah-oleh saya yang buat cerita, buat fitnah. Akibatnya saya jarang balik rumah mentua, kerana saya cuba elakkan daripada berlaku pertengkaran yang akan memburukkan keadaan. Saya pasti kalah jika sepupu berpadu memfitnah saya yang kononnya buat cerita.

“Kerana itu nasihat saya kepada anda yang beripar duai, hati-hati mendengar cerita sama ada yang baik atau yang buruk, kerana akibatnya akan merosakkan hubungan anda sami isteri, juga keluarga. Kini mereka cap saya kaki fitnah dan seolah-olah jadi kera sumbang dalam keluarga mereka. Sungguh memalukan.
Orang lain cuba ceritakan kebenaran saya yang dapat bala.’’ Itu cerita Ezzara dan nasihatnya jangan dengar cerita orang akibatnya anda sendiri akan terima bala.

Utusan


EmoticonEmoticon