jobs from my.neuvoo.com

10 Februari, 2016

Isteri curang hamil, suami ragu status anak perlu lakukan sumpah li'an

MERUJUK kepada kisah Amirul ini, Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Redza berkata, disebabkan berlakunya situasi membabitkan isteri dituduh curang dan melakukan zina dengan lelaki lain sehingga meragui anak mereka, maka kedua-duanya perlu melakukan sumpah li’an.

Beliau berkata, sumpah li‘an berlaku apabila terjadinya qazaf, iaitu suami menuduh isterinya berlaku zina atau menafikan anak dikandungkan isterinya sebagai anak.

“Li‘an ialah sumpah seorang suami apabila dia menuduh isterinya berzina tanpa mempunyai empat orang saksi kecuali dirinya sahaja. Maka hendaklah dia bersumpah empat kali 'bahawa dia adalah orang yang benar' dan pada kali kelimanya 'bahawa dia akan dilaknati ALLAH jika dia berdusta'.

“Sekiranya isteri menolak tuduhan tersebut, maka hendaklah dia bersumpah sebanyak empat kali 'bahawa suaminya itu berdusta' dan pada kali kelimanya 'bahawa dia akan dilaknati ALLAH jika suaminya benar',”katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Suami terkedu, anak bukan dari benihnya sendiri...']

Mohd Yusof berkata, mengikut peruntukan hukum syara‘, sekiranya yang menuduh (suami) enggan bersumpah, maka dia akan dikenakan hukuman qazaf dengan sebatan sebanyak 80 kali rotan.

Manakala jika isteri yang dituduh pula tidak menolak tuduhan suaminya, maka dia akan dikenakan hukuman sebagaimana orang yang berzina kecuali kedua-dua mereka bersumpah dan melakukan li‘an.

"Apabila kedua-duanya bersumpah dan melakukan li‘an, maka ikatan perkahwinan mereka suami isteri akan terputus sama sekali dan mereka diharamkan berkahwin semula buat selama-lamanya," katanya.

Sementara pendakwah, Azman Shah Alias yang juga juara Pencetus Ummah musim kedua berkata, perbuatan zina adalah sesuatu yang keji dan hina di sisi ALLAH SWT.

Beliau berkata, mereka yang melakukan perlulah segera bertaubat.

Bagaimanapun, katanya, sebaik mungkin perkara seperti itu perlu dirujuk ke mahkamah syariah untuk tindakan susulan.

“Bagi kes seperti ini, saya menasihatkan kepada kedua-duanya agar segera bertaubat dan meminta ampun kepada ALLAH SWT diatas keterlanjuran dilakukan, walaupun mereka sendiri tahu itu adalah berdosa besar.

“Kalau diikut dengan hukuman ALLAH, kedua-dua mereka perlu direjam dan disebat sampai mati di khalayak ramai dengan kesalahan dilakukan.

“Namun, ALLAH itu maha pengampun dan pintu bertaubat sentiasa terbuka," katanya.


EmoticonEmoticon