07 Februari, 2016

Kisah: 'Mak malu, berkurung dalam bilik kerana kakak sulung telah...'

“SEMASA arwah emak saya masih hidup dulu, seminggu emak berkurung tak mahu keluar, alasannya, dia malu sebab anak sulungnya, kakak saya jadi janda. Kata emak tak ada dalam keturunannya terutama adik-beradiknya jadi janda, tetapi kakak pecah tradisi. Ini amat memalukan keluarga.

“Kerana malu dan kecewa emak tak mahu jumpa kakak. Kakak dibiarkan hidup sendirian tanggung tiga orang anak yang masih kecil. Kakak banting tulang mengurus hidup anak-anaknya, hantar sekolah, malam hantar tuisyen dan menyiapkan makan minum.

“Oleh kerana gaji kakak kecil mereka terpaksa pindah duduk rumah setinggan supaya dengan gaji kakak, dia mampu tanggung anak-anaknya.” Itu cerita Mastura dalam e-melnya.

“Saya kesiankan kakak tetapi apa boleh saya lakukan, ketika itu masih belajar lagi. Bila masuk kolej saya pindah ke bandar. Ketika itu dapat jumpa kakak. Walaupun sebelum itu emak dah beri amaran jangan pedulikan kakak. Itu balasan orang yang tak tahu diuntung.

“Kerana takutkan emak. Memang awalnya saya tak jumpa kakak. Saya hanya telefon. Akhirnya saya beranikan diri cari rumah kakak. Kesian. Sedih dengar cerita kakak. Kata kakak, sejak kahwin hidupnya tak pernah aman, sentiasa takutkan suaminya Imran sebab dia kaki pukul dan selalu suruh kakak pinjam duit untuk dia berjudi.

“Kalau kakak tak beri akibatnya kena marah, nasib tak baik kena pelempang. Tapi kakak sabar. Rumah sewa sentiasa berpindah sebab tak mampu bayar sewa. Kata kakak dia berhutang dengan koperasi untuk tutup hutang dengan kawan-kawan yang sudah terlalu banyak. Kerana tak tahan, akhirnya kakak mengadu pada ketua pejabat suaminya.

“Tujuan kakak supaya ketua pejabat boleh nasihatkan Imran. Tetapi bila balik kakak kena penangan lebih teruk. Imran tuduh kakak sengaja nak jatuhkan maruah suami sebab menceritakan masalah rumah tangga kepada orang luar. Islam tak suruh isteri buka aib suami. Masalahnya kakak dah tak ada tempat nak mengadu. Kakak tak berani jumpa emak. Sebab akhirnya bukan Imran yang salah, kakak akan dipersalahkan.

“Dari situ akhirnya berlakulah titik-titik hitam dalam hidup kakak bila dia dicap sebagai isteri durhaka. Dan lebih teruk Imran mencanangkan keburukan kakak kepada orang lain, dan kawan kakak di tempat kerjanya.

Tetapi pada kesempatan itu dia ambil peluang meraih simpati kepada wanita lain, konon dia suami teraniaya. Dari situ kemudiannya dia berusaha mencari orang lain untuk ganti tempat kakak. Dipendekkan cerita kerana mulut manis, Imran dapat kekasih baru kerana dia memang pandai memujuk dan menarik simpati orang kepadanya.

“Sebelum menceraikan kakak, Imran jumpa emak di kampung dan menceritakan keburukan kakak. Jadi dia tak salah bila menceraikan kakak.
“Sebab itulah juga emak marahkan kakak kerana katanya tak pandai layan suami, tak tahu menjaga hati suami, tak seperti emak. Kata emak, dia meletakkan seluruh jiwa raganya kepada ayah selepas berkahwin. Sebab itu rumah tangganya bahagia.

“Memanglah boleh emak buat macam tu, sebab emak tak bekerja dan ayah suami yang amat bertanggungjawab. Ayah berhempas pulas besarkan kami mencari rezeki seorang diri berbanding kakak.

“Kakak yang membanting tulang cari duit untuk suaminya Imran berjudi. Bila hutang kakak dah banyak dan dia tak dapat nak korek duit lagi, Imran cari isteri baru yang dia boleh bergantung hidup.

“Walaupun kakak kedua saya, Etie cuba terangkan masalah kakak, tapi emak tak mahu dengar dan percaya, emak tetap salahkan kakak tak pandai jaga hati suami. Emak mahu kakak ikut cakap suami selepas berkahwin. Sebab emak tak percaya Imran kaki judi, dia fikir setiap suami sama seperti suami emak iaitu ayah kami yang baik dan bertanggungjawab.

“Sebab itu setelah berkahwin, apabila saya menghadapi masalah yang sama seperti kakak, walaupun suami saya Edd bukan kaki judi, tetapi kaki perempuan, saya tak berani ceritakan pada emak. Saya tak mahu emak terseksa perasaannya kerana anak-anak perempuannya ada masalah rumah tangga.
Berhutang

“Sebenarnya tak ada wanita yang mahu rumah tangganya bermasalah. Mereka sanggup berhempas pulas membantu suami, tetapi bukan semua suami macam Edd, dia sanggup berhabis asalkan penampilannya terjaga, khususnya pakaian mesti up tu date. Kereta mesti cantik dan selalu tak lekat di rumah.

“Saya dibebankan dengan dua orang anak yang masih kecil, menguruskan rumah sambil bekerja. Kalau rumah tak bersih, saya dipersalahkan di cap pengotor. Edd langsung tak ada sifat tolong menolong, terutama menjaga anak.

“Lapan tahun lamanya saya bersabar. Akhirnya saya terpaksa buat keputusan, kerana saya tak sanggup bermadu dan tak sanggup diperbodohkan untuk menanggung belanja penampilannya yang semakin tinggi setiap hari. Maklumlah baju, pewangi, kasut dan peralatan pembersih muka semakin hari semakin mahal.

“Berdasarkan pengalaman kakak saya, saya rasa tak ada gunanya terus berkorban pada suami seperti ini, sebab dia tidak akan pedulikan pengorbanan isterinya. Saya juga dah nekad jika emak marah saya sedia terima maki-hamunnya.
“Saya tidak akan melawan emak, tetapi saya terpaksa berpisah kerana saya tahu itulah hukuman dipenghujung pengorbanan saya. Saya tetap akan diceraikan kerana tidak ikut kehendaknya menyediakan duit untuk dia bergaya.

“Saya tak sanggup lagi berhutang berbaris semata-mata untuk menggembirakan hati Edd, supaya dia terus bergaya. Saya juga tak sanggup mempertahankan perkahwinan ini semata-mata menjaga hati emak supaya tak malu, dua orang anaknya bergelar janda.

“Pada saya hanya orang yang menghadapi masalah seperti saya dan kakak saja yang tahu betapa susahnya hidup kami. Orang lain mungkin boleh sekadar mengata dan memandang saja sambil beri nasihat hanya pandangannya betul.

“Bukan tujuan saya menidakkan nasihat mereka, tetapi mereka tak ada pengalaman, jadi tentu mereka tak tahu betapa peritnya penderitaan yang terpaksa kami lalui.

“Kalau dulu saya sendiri tidak memahami masalah kakak, cuma mendengar leteran emak yang marahkan kakak kerana bercerai, tetapi setelah saya tinggal bersama di rumahnya semasa belajar dan selepas dapat kerja dahulu barulah saya tahu betapa besarnya pengorbanan kakak untuk anak-anaknya.

“Syukur kepada Allah berkat kerja keras kakak dan nasihat yang sentiasa dicurahkan kepada anak-anaknya, kini anak-anak kakak berjaya dalam pelajaran dan sudah pun bekerja setelah berjaya memegang ijazah masing-masing walaupun tanpa nafkah daripada ayah mereka.

“Peliknya setelah anak-anak bekerja, barulah si ayah nampak anak-anaknya. Saudara mara ayahnya mula memuji kepandaian anak-anak kakak. Pada saya semuanya sudah terlambat.

“Mereka cuma melihat anak-anak kakak telah bekerja dan tidak tinggal rumah setinggan lagi. Di mana mereka ketika kakak berhempas pulas membesarkan anak-anak sendirian tanpa sedikit pun nafkah daripada bekas suami dan keluarganya?

“Kalau sayalah bekas ipar-ipar tinggal kakak, saya berasa malu mengaku anak-anak itu saudara. Sebab mereka langsung tidak membantu semasa kakak susah dahulu. Dan dalam diri anak-anak ini telah tertanam perasaan benci, marah dan tidak suka dengan perangai ayah mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Benar Islam melarang anak-anak membenci ayah mereka, tetapi ingat. Anak-anak inilah yang hidup menderita ketika kecil dahulu. Di mana ayah dan tanggungjawab lelaki bergelar ayah?

“Melihat kepada kejayaan kakak, saya juga tidak akan buat tuntutan nafkah kepada bekas suami. Sebagai ayah sepatutnya dia tahu tanggungjawabnya. Tetapi saya tahu dia tidak akan sedar diri, kerana pada dia, kacak, lawa, bergaya itu lebih penting daripada beri anak makan. Mereka lebih pentingkan diri sendiri daripada anak-anak. Kecuali setelah anak-anaknya besar, baru mereka sedar betapa pentingnya anak-anak untuk bantu mereka setelah tua dan sakit-sakit.

“Saya bukan berlagak atau sombong, kerana gaji saya mungkin boleh tanggung makan minum anak-anak, tetapi saya rasa buang masa turun naik mahkamah buat tuntutan nafkah, sebab yang akan untung nanti adalah peguam bukan kami.

“Sebaliknya saya yang rugi, banyak masa terbuang turun naik mahkamah dan lebih penting boleh merosakkan fikiran memikirkan bekas suami yang tak bertanggungjawab itu.

“Lagipun saya sedar ayah seperti ini tidak akan berjaya dalam hidupnya sebab dia gagal membiayai kehidupan anak-anaknya. Pembalasan Allah tidak berlaku setelah kita mati atau di alam akhirat sahaja, sebaliknya semasa masih hidup di atas dunia ini Allah akan tunjukkan pembalasan-Nya. Cuma sama ada si ayah itu sedar atau tidak.

“Kesimpulannya boleh saya katakan bahawa suami zaman sekarang bukan seperti suami emak kita zaman dahulu, sebabnya isteri zaman dahulu tak bekerja, jadi anak-anak terpulang kepada tanggungan si ayah. Dan lebih penting suami zaman dahulu lebih bertanggungjawab daripada suami zaman sekarang. Jadi di mana silapnya?

“Antara dua jenis lelaki ini. Adakah kerana ibu bapa lupa beri didikan kepada anak-anak lelaki mereka khususnya dalam bab agama supaya menjadi anak dan suami yang bertanggungjawab bukan sahaja kepada anak-anak dan isteri, tetapi juga kepada ibu bapa mereka.

“Kalau ibu bapa dulu lupa memberi didikan kepada anak-anak mereka dalam bab agama, maka menjadi tanggungjawab kita ibu bapa zaman ini memperbetulkan keadaan supaya masalah kepincangan dalam keluarga ini boleh diperbaiki untuk generasi akan datang,’’ itu cerita Mastura panjang lebar untuk kita perbaiki dan cermin diri sendiri.

Sumber


EmoticonEmoticon