jobs from my.neuvoo.com

17 Februari, 2016

Lelaki cabul isteri penyanyi itu mabuk

Lelaki disyaki warga asing yang mencabul isteri penyanyi jalanan di depan sebuah kompleks beli belah malam tadi disyaki mabuk ketika kejadian.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah berkata pihak berkuasa dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh polis bantuan pusat beli belah berkenaan.

“Polis bantuan Sogo dan seorang pengawal keselamatan telah mengangkat lelaki itu dan memberi rawatan kepadanya.

“Menurut polis bantuan lelaki yang kelihatan seperti dari Nepal itu berkemungkinan mabuk berdasarkan kepada cara dia bercakap dan bau alkohol pada dirinya," kata beliau (gambar) kepada Malaysiakini.

Portal ini sebentar tadi melaporkan seorang lelaki disyaki warga asing cedera selepas dipukul penyanyi Genji Buskers yang berang apabila isterinya dipeluk suspek.

Mustam Mustapa berkata dia baru lima hari berkahwin dengan wanita yang dicabul suspek.

Zainol berkata suspek dilihat hanya mengalami kecederaan di hidung saja.

Beliau juga mengesahkan polis menerima laporan berhubung serangan cabul itu daripada Mustam.

Mengenai suspek, Zainol berkata lelaki terbabit diberi sebotol air untuk membersihkan mukanya.

"Selepas itu lelaki (dipercayai warga) Nepal berkenaan terus bangun dan berjalan pergi ke arah Kompleks Pertama,” katanya.

Mengulas lanjut, Zainol berkata polis bantuan kompleks Sogo tidak mengambil sebarang butiran lelaki berkenaan.

Katanya, pengadu (Mustam) juga tidak memaklumkan kepada mana-mana polis bantuan Sogo untuk tindakan lanjut dan hanya membuat laporan polis.

"Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan kerana mencabul kehormatan," katanya.


EmoticonEmoticon