jobs from my.neuvoo.com

29 Februari, 2016

Pengalaman digoda 'Datuk'...

 PENGALAMAN digoda seorang berpangkat 'Datuk' antara yang tidak dapat dilupakan seorang gadis anak kelahiran Bumi Kenyalang ini. Bagi Helen Letteny yang merupakan anak kacukan Iban dan Cina dari Lundu memberitahu, meskipun tidak suka dengan tindakan Datuk berkenaan, dia bersikap profesional dengan menolaknya secara bijak.

Menceritakan pengalaman gadis berusia 24 tahun itu, dia membawa dua orang rakannya untuk makan malam bersama Datuk berkenaan sedangkan Datuk terbabit mengharapkan dia datang seorang diri. Helen yang bekerja sebagai Penolong Khidmat Pelanggan di sebuah hotel terkemuka di Kuching, memberitahu, pekerjaannya memerlukannya berinteraksi dengan pelbagai karektar manusia yang mengajarnya tentang perhubungan awam yang baik.

"Saya akan menggunakan pengalaman yang diperolehi ini bagi mencapai impian satu masa nanti iaitu membuka sebuah kedai pengantin.

"Bajet yang diperlukan bagi membuka kedai ini adalah besar, namun ia tidak mematahkan semangat saya," katanya ketika ditemui S2 baru-baru ini.

Tambahnya, sejak penghujung 2013, dia juga telah memulakan perniagaan menjual cekak (headband) yang dibuat sendiri secara dalam talian.

"Sambutan yang diterima memberangsangkan dan saya juga berkesempatan menaja cekak ini pada pertandingan Miss Borneo Kebaya, selain menaja untuk artis tempatan," jelas gadis yang berpandangan jauh itu.

Gadis mesra dengan panggilan Helen itu memberitahu, dia juga tidak keberatan membuka 'booth' di pesta atau pasar bagi mempromosikan produknya kepada orang ramai.

"Saya tidak berasa malu untuk menjual hasil kreativiti ini kepada orang ramai. Walaupun ada kalanya, orang melemparkan pandangan negatif, tidak memberi sokongan, tetapi ia membuatkan saya lebih bersemangat untuk berusaha," ujarnya.

Tidak berhenti di situ sahaja, Helen turut melibatkan diri dalam dunia lakonan menerusi drama Muqqadam (13 episod) dan Puaka Bujang Senang (13 episod) bagi mencari pengalaman.

Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan cekak hasil kreativiti Helen, bolehlah melayari di laman Facebook, www.facebook.com/HLHEADBANDS atau instagram, HLHEADBANDS.


EmoticonEmoticon