jobs from my.neuvoo.com

05 Februari, 2016

Tumbangnya Mukhriz - Adakah Mahathir tahu 'sesuatu'?


Bagi kebanyakan pemerhati, Datuk Seri Mukhriz Mahathir adalah tidak lebih daripada mangsa yang dijadikan korban dalam pertarungan dua gergasi politik negara ini.

Apa yang berlaku adalah dilihat sebagai tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuktikan kekuatannya selepas berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam Umno di sebalik pelbagai dakwaan.

Di sebalik usaha menumbangkan anaknya, Tun Dr Mahathir Mohamad tetap berdiam diri dan tidak campur tangan, sekurang-kurangnya dari segi pandangan media.

Jika beliau ada melakukan sesuatu demi ‘menyelamatkan’ Mukhriz, ini dibuat secara tertutup dan tanpa pengetahuan media.

Walau bagaimanapun, seorang penganalisis politik menawarkan senario alternatif yang boleh menjelaskan mengapa bekas perdana menteri itu berdiam diri dalam isu itu.

Bercakap kepada Malaysiakini, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Profesor Maszlee Malik mengemukakan hipotesis bahawa Mahathir mengetahui "sesuatu".

"Sesuatu itu", menurutnya, kemungkinan bahawa hari Najib kini boleh dihitung.

"Jika benar, maka adalah tidak berbaloi untuk Mahathir membuang masa mempertahankan kerusi MB sedangkan beliau tahu anaknya berpeluang mendapatkan jawatan lebih besar atau penting pada masa akan datang.

"Dilihat sebagai mangsa juga satu kelebihan untuk Mukhriz berhubung survival masa depannya," katanya.

Lebih-lebih lagi, ada spekulasi mendakwa bahawa Mahathir menanam cita-cita untuk melihat anaknya menjadi perdana menteri suatu hari nanti.

Sementara itu, Maszlee berkata Mukhriz juga mendapat sokongan padu daripada akar umbi, terutamanya mengenai komennya terhadap GST, 1MDB dan ‘derma’ RM 2.6 bilion yang berada di akaun bank Najib.

Dengan tindakan Najib sekarang yang sedang memperkukuhkan kedudukannya, beliau berkata akan sia-sia untuk Mukhriz melawan pertarungan yang beliau pasti kalah buat masa ini.

"Lagipun, Mukhriz tidak pernah dilihat sebagai seorang pejuang dalam Umno sejak zamannya bersama Pemuda Umno, jadi kita tidak boleh mengharapkan beliau melakukan sesuatu.

"Beliau mungkin memikirkan strategi jangka panjang dalam era pasca-Najib sekiranya beliau kekal bersama Umno dan tidak dilucutkan keahliannya.

"Saya percaya jika beliau berprofil rendah dan kurang lantang seperti Muhyiddin Yasin dan Shafie Apdal, beliau akan dapat kekal dalam Umno, dan mampu persiapkan diri untuk perjuangan yang lebih besar," katanya.


EmoticonEmoticon