jobs from my.neuvoo.com

16 Mac, 2016

Dr Vida intai pemain La Liga untuk Kelantan

MADRID: Penaja utama Kelantan, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman merisik pemain dari Sepanyol dan Argentina yang beraksi di La Liga bagi menggantikan awang import Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) yang kurang menyerlah menjelang jendela perpindahan bermula 20 Jun ini. "Saya dimaklumkan oleh beberapa ejen yang dilantik berhubung beberapa pemain berkualiti dari Sepanyol dan Argentina di La Liga sedia untuk dirisik. "Jadi, alang-alang saya ada di Madrid, saya mahu intai pemain ini. Pemain untuk gred C sudah memadai sekiranya prestasi mereka memuaskan dan harga yang ditawarkan berpatutan. "Apa yang penting adalah kualiti yang ada pada pemain itu kerana ia akan mencorakkan kedudukan PQPTRW musim ini. Kalau bayar mahal tapi main tidak seberapa ia pasti akan menjejaskan pasukan. Biarlah pembelian itu berbaloi dengan wang yang dilaburkan," katanya ketika ditemui, di sini. Kelantan kini memiliki empat pemain import termasuk bekas penjaring terbanyak Liga Super 2015, Dramane Traore dari Mali, Blazhe Ilijoski (Macedonia), Jonathan Mckain (Australia) dan Jonatan Lucca (Brazil). Bagaimanapun, Hasmiza atau lebih dikenali Dr Vida kecewa dengan prestasi awang import terbabit kerana selepas mengharungi lima aksi Liga Super, PQPTRW hanya berada pada kedudukan kelima liga apabila meraih dua kemenangan, dua seri dan satu kekalahan, selain tersingkir awal dalam saingan Piala FA. Jutawan kosmetik itu kini lebih berhati-hati dalam soal pemilihan pemain import kerana tidak mahu kesilapan sama berulang apabila pintu perpindahan dibuka dari 20 Jun hingga 15 Julai depan. Ditanya nama pemain import PQPTRW yang bakal disingkirkan, Dr Vida berkata beliau akan memberi peluang kepada keempat-empat pemain import terbabit mempamerkan prestasi sebenar mereka, sebelum tindakan penyingkiran diambil. "Saya mahu mereka buktikan kepada saya bahawa kualiti yang ada pada mereka membolehkan mereka dikekalkan dalam skuad. Jika sebaliknya, saya perlu lakukan sesuatu demi PQPTRW," katanya. Dr Vida juga menegaskan walaupun terpikat dengan corak permainan penyerang import Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ali Ashfaq dan Kedah, Liridon Krasniqi, beliau tidak bercadang untuk membawa masuk kedua-dua pemain itu menyertai skuad Kijang ketika jendela perpindahan pemain dibuka Jun ini. "Memang benar saya kagum dengan kelincahan Ali dan Krasniqi tetapi bukan bermakna saya mahu mendapatkan khidmat mereka untuk PQPTRW. "Apa yang saya dimaksudkan, saya hanya mahukan pemain import yang lincah dan tenang seperti itu bermain untuk Kelantan. "Kelebihan seperti itu yang perlu ada dalam pasukan PQPTRW jika mahu menjadi pencabar utama dalam saingan Liga Super musim ini, bukan seperti awang import yang ada sekarang," katanya.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/134226?m=1


EmoticonEmoticon