jobs from my.neuvoo.com

10 Mac, 2016

Jiran goda, menggatal dengan ayah selepas kematian ibu

Setiap anak mahukan yang terbaik untuk ibu bapa mereka, lebih-lebih lagi apabila ibu yang disayangi telah pergi menghadap Ilahi. Tentunya kasih hanya tertumpah buat bapa walaupun rindu kepada ibu tidak terbendung.

Tidak siapa boleh menggantikan tempat ibu kerana ibu hanya seorang di dunia, tidak ada dua atau tiga. Datanglah sesiapa juga yang menggantikan tempatnya, pasti tidak akan sama dengan ibu sejati.

Namun takdir Ilahi mengatasi segala. Tidak semua impian seorang anak itu akan berkekalan kerana Allah penentu segalanya. Memang betul soal jodoh, maut dan pertemuan itu di tangan Allah, kita hanya mampu berdoa dan berusaha.

Begitulah kisah yang dilalui oleh Ain, (bukan nama sebenar), berusia 23 tahun. Ain kehilangan ibu tersayang sejak setahun lalu dan dia serta adik-adiknya susah hati sebab ayah mereka digoda oleh jiran.

Kita ikuti kisah selanjutnya dari Ain.

“Saya anak sulung daripada tiga orang adik beradik, dua perempuan dan seorang lelaki. Dua adik saya masih belajar. Ibu saya telah kembali ke rahmatullah setahun lalu akibat kanser rahim.

“Walaupun sedih dengan pemergiannya, saya terpaksa reda dan memikul tanggungjawab untuk menjaga adik-adik yang berusia 15 dan 19 tahun.
“Saya sudah bekerja, jadi tidak ada masalah untuk uruskan rumah dan perbelanjaan adik-adik walaupun ayah memberi wang yang mencukupi untuk kami tiga beradik.

“Ayah saya seorang pegawai di sebuah bank berusia lewat 50-an, seorang yang kacak dan sentiasa menjaga penampilan. Dalam usia begitu, ayah masih ada peminat baik di tempat kerja atau di luar.

“Kami tiga beradik menerima kematian ibu dengan lapang dada dan berusaha untuk tidak menyusahkan ayah. Saya tahu ayah rindukan ibu tetapi dia tidak menunjukkannya kepada kami kerana mungkin tidak mahu kami sedih.

“Nenek sebelah ibu dan ayah telah berusaha untuk mencari jodoh untuk ayah. Tetapi ayah menolak dengan baik dan mengatakan ibu baru pergi. Nenek sangat berharap ayah kahwin lain supaya makan minum ayah terjaga walaupun saya ada.

“Kata nenek, lebih senang ada isteri daripada bergantung kepada saya yang satu hari nanti akan berkahwin dan meninggalkan ayah dan adik-adik walaupun setakat ini, saya belum nampak ayah ada cita-cita ke arah itu.

“Saya tidak ada masalah jika ayah ingin berkahwin lagi tetapi biarlah dengan wanita yang sesuai dan boleh menjaga ayah serta serasi dengan kami tiga beradik. Itu yang penting, bukan berkahwin dengan ayah kerana ayah semata- mata.

“Apa yang menjadi masalah sekarang, ayah melayan seorang wanita yang juga jiran kami di sebelah rumah. Sejak ibu meninggal, wanita ini yang saya panggil Cik Ina (bukan nama sebenar) semakin berani menegur ayah secara terbuka.

“Malah dia juga bersusah payah memasak lauk dan kuih-muih untuk kami anak beranak pada hujung minggu walaupun kami tak minta. Saya mula nampak perubahannya apabila dia selalu bertanyakan ayah kepada adik bongsu saya.

“Saya mula bimbang, takut kalau-kalau dia masukkan apa-apa yang tidak baik dalam makanan yang diberinya kepada kami, terutama ayah tetapi saya tidak berani hendak beritahu ayah.

“Saya tidak mahu mempercayai perkara itu kerana tidak mahu dianggap syirik tetapi tingkah laku ayah semakin hari semakin berubah. Dia juga melayan Cik Ina walaupun sebelum ini ayah jarang berbual dengan perempuan lain terutama semasa ibu masih ada.

“Kalau dahulu, ayah jarang berada di luar rumah, sekarang ayah banyak menghabiskan masanya membasuh kereta dan membersihkan halaman. Saya juga pelik dengan perubahan ayah.

“Setiap kali ayah keluar, Cik Ina pun keluar. Kadang-kadang dia buat-buat nak angkat pakaian di jemuran, ada ketikanya nak siram pokok bunga dan macam-macam lagi yang dia buat semata-mata untuk menarik perhatian ayah.

“Ayah pula kalau kami ada, buat tak pandang Cik Ina tetapi kalau kami terlepas pandang, bukan main mesra lagi mereka. Saya perasan akan tingkah laku mereka berdua dan mengagak tentu ada rahsia di sebaliknya.

“Malam hari pula, ayah sudah mula bergayut di telefon, kalau saya tanya katanya klien. Kalau tanya lagi, ayah cepat-cepat masuk ke bilik dan tutup pintu. Tingkah laku ayah menyebabkan saya semakin percaya yang ayah dan Cik Ina ada hubungan.

“Saya bukan tidak suka kepada Cik Ina tetapi saya rasa ayah tidak sesuai dengan dia sebab dia bukan wanita yang sesuai untuk ayah, lagipun kami tidak serasi dengannya. Pada saya, Cik Ina tidak layak menggantikan tempat ibu.

“Saya pernah bercerita dengan nenek sebelah ayah tentang perkara ini dan nenek juga tidak setuju. Kata nenek, dia akan carikan calon isteri untuk ayah jika itu yang ayah mahukan. Tetapi ayah tidak boleh cari sendiri sebab nenek hanya akan cari wanita yang sesuai dan boleh menjaga ayah dan kami tiga beradik.

“Sekali lagi saya tegaskan, saya bukan tidak suka dengan Cik Ina tetapi pada saya, dia bukan wanita yang layak dijadikan isteri oleh seorang duda beranak tiga seperti ayah sebab kami sudah dewasa. Cara penampilan, tutur kata dan pakaian Cik Ina juga saya tidak suka.

“Ayah lebih layak mendapatkan seorang wanita yang tertib, lemah lembut dan berpakaian sopan seperti arwah ibu. Dan saya tidak sanggup melihat ayah hidup di samping seorang wanita yang langsung tidak ada ciri-ciri arwah ibu kami.

“Saya telah memikirkan perkara ini semasak-masaknya dan saya akan berterus terang dengan ayah tentang perkara ini. Saya tidak akan membantah jika ayah ingin berkahwin lagi tetapi bukan dengan Cik Ina.

“Sekarang ini, saya semakin meluat dengan gelagat Cik Ina yang semakin melampau. Dia juga sudah berani datang ke rumah jika ayah ada. Alasannya nak hantar kuih la, lauk la, pada hal saya tahu tujuannya hanya untuk berjumpa dan bersembang dengan ayah.

“Adik-adik saya pula akan lari masuk ke bilik apabila Cik Ina datang, tinggal saya melayan dia. Takkan saya nak tinggalkan dia dengan ayah pula di ruang tamu, tentu tidak maniskan?

“Saya jadi buntu dan tidak tahu bagaimana hendak mengatasi ma­salah ini. Tapi saya telah nekad akan berterus terang dengan ayah mengenai perkara ini. Biar ayah tahu yang kami tidak suka ayah berbaik-baik dengan Cik Ina.

“Saya sangat berharap ayah faham akan situasi ini dan tidak menyifatkan saya cuba mengajarnya. Sebagai anak sulung, saya juga mahu tengok ayah bahagia setelah ketiadaan ibu. Tetapi saya juga berhak memilih siapa wanita yang bakal menggantikan tempat ibu supaya ayah terus bahagia.

“Saya akan berbincang mengenai perkara ini dengan kedua-dua nenek dan semoga ada jalan penyelesaiannya nanti. Biarlah nenek pujuk ayah, asalkan ayah tidak tersilap pilih.

“Saya berdoa supaya ayah ditemukan jodoh dengan wanita yang baik dan dapat menjaga ayah dan kami dengan kasih sayang dan perhatian tidak berbelah bahagi.
“Bagaimanapun, saya juga percaya pada Qada dan Qadar, kita hanya merancang, penentunya te­tap di tangan Allah. Semoga Allah pelihara saya dan keluarga serta temukan jodoh yang baik-baik untuk ayah,” kata Ain menamatkan ceritanya.

Begitu kasih seorang anak kepada ayahnya. Ain hanya mahu melihat masa depan ayahnya terjamin seandainya berkahwin lagi. Dia juga tidak mahu wanita yang hanya mahu mengambil kesempatan ke atas ayahnya.

Apa pun saya percaya, ayah Ain juga berfikiran yang sama. Sikap dan tingkah laku Cik Ina itu boleh dielakkan jika Ain bijak melayannya dengan cara yang lebih positif. Jangan sesekali tunjuk marah atau benci, sebaliknya layan dengan elok sebagai jiran.

Saya percaya, ayah Ain boleh berfikir dengan matang dan tahu yang mana kaca dan intan. Betul kata Ain, mungkin neneknya boleh menyelesaikan masalah tersebut.

Atau buat sementara waktu, ajak nenek tinggal bersama, mungkin Cik Ina akan segan nak datang. Itu sebagai salah satu cara untuk menghalang dia datang ke rumah. Semoga semuanya dalam baik-baik sahaja dan Allah kurniakan kebaikan kepada keluarga Ain di dunia dan akhirat.

Menamatkan catatan, pesanan ikhlas saya, kadangkala yang baik itu tidak dapat dilihat dengan mata kasar tetapi daripada perlakuan dan tingkah laku yang menyenangkan. Seorang wanita yang baik adalah mereka yang menjaga solatnya, baik pekerti dan akhlak serta mengutamakan auratnya.

Salam

KELUARGA


EmoticonEmoticon