jobs from my.neuvoo.com

23 Mac, 2016

Kesat air mata dibebas tuduhan buat seks luar tabii

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga Pakistan mengesat airmata gembira menyambut keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dengan seorang wanita, tahun lalu.

Hakim, Datin M. Kunasundary membebaskan Mohammad Yasin Lone, 33, seorang tukang jahit, tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Kunasundary berkata mahkamah mendapati keterangan wanita yang berusia 40 tahun itu dilihat tidak kredibel dan tidak boleh dipercayai.

"Mahkamah berpendapat laporan perubatan yang dikemukakan oleh doktor pakar dilihat tidak menyokong keterangan bahawa berlakunya kemasukan zakar ke dalam dubur mangsa.

"Mahkamah juga mendapati bukti dan laporan daripada pegawai penyiasat adalah tidak mencukupi sehingga wujud kelompongan dan siasatan dilihat dibuat sambil lewa," katanya.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan sembilan saksi pendakwaan selama empat hari perbicaraan.

Mohammad Yasin didakwa melakukan persetubuhan luar tabii terhadap wanita itu di sebuah pusat karaoke, di Pertama Kompleks di sini pada pukul 8 malam, 16 Oktober tahun lepas mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang menetap lebih dua tahun di negara ini, diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali dan Sharen Rosli, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa.

Noor Jazilah memberitahu media bahawa pihaknya akan menfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Tinggi. - Bernama


EmoticonEmoticon