jobs from my.neuvoo.com

12 Mac, 2016

Pura-pura solat sebelum lakukan maksiat

Lelaki yang ditangkap bilal dan jemaah lain ketika sedang mencuri di Masjid Al-Abrar, malam kelmarin.
BUKIT BERUANG - Beberapa kejadian curi berlaku di Masjid Al-Abrar, Semabok, di sini, ketika jemaah sedang bersolat, mendorong pihak masjid memasang perangkap, malam kelmarin.

Ketika jemaah sedang menunaikan solat Maghrib, seorang bilal masjid menunggu di bilik komputer memantau skrin kamera litar tertutup (CCTV).

Persoalan akhirnya terjawab apabila seorang lelaki berpura-pura mahu solat, bagaimanapun bertindak mencuri barangan jemaah wanita ketika rakaat kedua.

Lelaki berusia 41 tahun yang berkemeja T dan berketayap itu dipercayai penagih dadah dicekup bilal dan jemaah lain ketika sedang mahu melakukan kegiatannya di ruang solat wanita.

Pengerusi Masjid Al-Abrar, Othman Baba berkata, berikutan terlalu kerap kejadian curi di masjid berkenaan ketika jemaah sedang solat, seorang bilal ditugaskan menunggu di bilik komputer, sebelum berjaya mengesan suspek kira-kira jam 7.30 malam.

“Semasa bilal berada di dalam bilik komputer, dia nampak melalui CCTV seorang lelaki berketayap masuk ke ruang solat wanita. Tanpa berlengah, bilal terus ke ruang itu.

“Suspek bagaimanapun tidak sempat mencuri kerana bilal bersama beberapa jemaah lelaki lain sempat menangkap dan mengikat tangannya sebelum menghubungi polis,” katanya.

Menurut Othman, berikutan kes curi sering berlaku sejak awal tahun ini, ahli jawatankuasa masjid sepakat memerangkap suspek dan strategi yang mereka rangka itu akhirnya berjaya.

“Dalam Februari saja, ada lima enam kes curi beg wanita ketika sedang solat. Hari sebelum suspek ditahan pun ada satu kes tapi ketika itu bilal tidak berada di bilik komputer.

“Semasa kita tangkap suspek semalam, dia mengaku tinggal di Padang Temu dan juga mengaku beberapa kali mencuri di masjid kami,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Kamuluddin Kassim berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira 7.45 memaklumkan berkaitan kejadian.

“Ketua Balai Polis Kandang bersama anggotanya datang ke masjid untuk menahan suspek. Ujian saringan urin yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis morfin.

“Berdasarkan semakan, suspek mempunyai rekod lampau berhubung kes dadah, pecah rumah, curi dan ceroboh,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan Seksyen 488 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.


EmoticonEmoticon