jobs from my.neuvoo.com

07 Mac, 2016

Salah Bonceng Motor Dengan Bukan Mahram, Waktu Maghrib

KOTA BHARU – Kerajaan PAS Kelantan bakal meminda satu undang-undang bagi membolehkan tindakan diambil terhadap anak muda yang berkeliaran pada waktu Maghrib dan membonceng motosikal dengan bukan mahram.

Undang-undang yang akan dipinda itu dilakukan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh Kelantan bagi mengawal gejala sosial dalam kalangan anak-anak muda negeri itu, menurut laporan beberapa portal berita.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, bagaimanapun tidak menyatakan bentuk tindakan yang boleh diambil terhadap mereka yang ditahan kerana berkeliaran dan membonceng motosikal dengan bukan mahram.

Kesalahan terbaharu itu termasuk terhadap penunggang dan pembonceng yang didapati masih lagi berlegar-legar tanpa arah tujuan pada waktu Maghrib sama ada di kawasan taman rekreasi atau tepi pantai.

“Walaupun gejala sosial di negeri Serambi Makkah ini belum lagi sampai kepada tahap membimbangkan, usaha perlu dibuat agar ia dapat dibendung lebih awal,” kata Ahmad seperti yang dilaporkan portal Harakah Daily.

Cadangan pindaan undang-undang kecil tersebut, kata beliau juga adalah selaras dengan penubuhan Jabatan Pembangunan Islam (JPI) pada peringkat PBT di seluruh pentadbiran majlis daerah sepanjang tahun ini.

Sebelum ini, hanya di Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) sahaja mempunyai JPI, tetapi mulai tahun ini jabatan baharu tersebut bakal diperluaskan lagi kepada seluruh PBT di Kelantan.

Ahmad berkata, JPI diharap turut dapat membuat kajian secara terperinci berkaitan dengan undang-undang kecil tersebut bagi menangani gejala anak muda yang suka sangat melepak buang masa pada waktu Maghrib.


EmoticonEmoticon