jobs from my.neuvoo.com

07 Mac, 2016

Tarik balik jawatan lantikan kerajaan daripada Dr M

BERA - Selain mengambil tindakan kepada ahli Umno yang memberikan sokongan kepada Deklarasi Rakyat, Umno Bera menyarankan kerajaan menarik balik jawatan kerajaan yang dilantik kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Umno Bera berkata, mereka mencapai kata sepakat agar tindakan disiplin parti turun dikenakan terhadap bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

"Umno Bera kesal dan amat terkilan dengan tindakan Dr Mahathir, Muhyiddin dan bekas pemimpin Umno yang lain dilihat bersekongkol dengan DAP, PKR serta segelintir NGO seperti Bersih yang selama ini menjadi musuh utama kepada Umno dan kerajaan.

"Dengan melaungkan slogan 'Selamatkan Malaysia’ dalam satu program yang dihadiri hanya kira-kira 50 orang berbanding keseluruhan 30 juta rakyat Malaysia, ia tidak lebih hanya satu lagi gerakan haram untuk mengganggu-gugat kestabilan negara dan politik tanah air.

"Ia sekali gus menjejaskan keharmonian rakyat berbilang kaum, Umno Bera mengutuk sekeras-kerasnya sebarang cubaan kumpulan Dr Mahathir serta Lim Kit Siang untuk menggulingkan Perdana Menteri secara tidak sah," kata kenyataan itu.

Keputusan berkenaan diputuskan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Umno Bera yang mana Ketua Bahagiannya adalah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Tindakan bersekongkol dengan Pengerusi DAP, Lim Kit Siang; DAP dan lain-lain parti pembangkang serta NGO pembangkang yang merupakan musuh Umno untuk menggulingkan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan peingistiharan perang kepada Umno dan keseluruhan ahlinya.

"Umno Bera menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri yang dilantik berdasarkan Perlembagaan Persekutuan," kata kenyataan itu lagi.


EmoticonEmoticon