jobs from my.neuvoo.com

28 April, 2016

Cuak foto tanpa seurat benang tersebar

Hiasan
PUCHONG – Gara-gara terlalu mencintai dan mempercayai gadis baru dikenalinya, seorang jurujual kini dihantui rasa gundah apabila suspek mengugut untuk menyebarkan gambar bogelnya kepada umum.

Difahamkan, mangsa yang berusia 33 tahun mengenali wanita terbabit menerusi aplikasi WeChat namun tidak pernah bersua muka.

Dalam tempoh tiga hari, wanita terbabit sering menghantar kata-kata manis menyatakan perasaan cinta dan rindu kepada mangsa hingga membuatkannya cair serta tergoda.

Ketua Biro Aduan Puchong, Kuan Chee Heng berkata, wanita itu juga menyatakan dia sering berasa resah dan tidak boleh tidur lena kerana teringin bertemu mangsa.

Kedua-dua mereka kemudian mengatur pertemuan di sebuah hotel di Sri Petaling.

Chee Heng berkata, sebelum bertemu, suspek menyuruh mangsa membeli kondom sebagai persediaan untuk melakukan hubungan seks.

Tanpa menyangka bakal memasuki perangkap, mangsa menuruti kehendak wanita tersebut dan mengambil gambar wajahnya bersama kondom untuk menunjukkan bukti pembelian sudah dibuat.

Mangsa kemudian mendesak wanita terbabit memberitahu nombor bilik hotel di mana mereka akan bertemu.

Namun suspek menyuruh mangsa mengambil gambar kemaluannya terlebih dahulu untuk dia melakukan pemeriksaan sama ada lelaki tersebut mempunyai penyakit kelamin atau tidak.

“Pada awalnya mangsa hanya hantar gambar kemaluannya tapi gadis itu minta dia menghantar gambar bogel seluruh badan kononnya bagi menyakini lelaki tersebut tidak menipu," katanya.

Chee Heng berkata, mangsa sekali lagi mengikuti permintaan suspek tanpa menyedari dia sudah terjerat.

Wanita tersebut akhirnya memberi satu nombor bilik hotel setelah didesak berkali-kali oleh mangsa.

Sebaik sampai di hotel mangsa terkejut apabila mendapati bilik hotel tersebut didaftar atas nama seorang lelaki warga asing.

Menyedari dirinya ditipu, dia terus pulang ke rumah dengan perasaan hampa.

Tiga hari selepas kejadian, mangsa terkejut menerima pesanan ringkas daripada wanita sama memintanya memasukkan wang sebanyak RM2,000 melalui sistem pemindahan wang secara telekomunikasi.

Suspek mengugut akan menyebarkan gambar bogel mangsa sekiranya permintaannya tidak dituruti.

“Takut berdepan keadaan itu, mangsa hubungi saya kata nak bunuh diri kerana malu,”katanya yang menerima aduan daripada mangsa, kelmarin.

Chee Heng berkata, dia percaya mangsa sudah diperdaya sindiket ‘love scam’ yang menggunakan kaedah menipu duit mangsa melalui cara sedemikian.

“Saya minta orang ramai lebih berhati-hati, ramai yang dah kena macam ini, janganlah dengan mudah serahkan gambar kepada orang yang tidak dikenali apatah lagi belum tentu wujud atau tak,” katanya.

Menurut Chee Heng, dia sudah menasihatkan mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.
Chee Heng menunjukkan khidmat pesanan ringkas (sms) dihantar mangsa kepadanya.


EmoticonEmoticon