08 April, 2016

Murtad bukanlah suatu hak

ISU murtad kembali diberi perhatian oleh media sejak kebelakangan ini, khususnya keputusan suatu kes lelaki Islam dibenarkan keluar Islam oleh Mahkamah Tinggi Kuching.

Masalah murtad ini adalah polemik yang benar-benar berlaku di Malaysia. Ia bukanlah suatu rekaan pihak tertentu bagi meraih kepentingan-kepentingan tertentu.

Perlakuan murtad ini boleh juga berlaku secara berkumpulan atas sebab-sebab tertentu seperti tidak mendapat layanan sewajarnya daripada pihak tertentu. Dalam keadaan yang lain, murtad juga berlaku apabila seseorang itu mengikut ajaran yang telah difatwakan salah seperti Qadiyani, Ayah Pin, Millah Ibrahim, Rasul Melayu dan banyak lagi ajaran yang terpesong dari aqidah Islam.

Murtad juga pernah dilaporkan berlaku dalam kalangan remaja yang menyertai kumpulan tertentu seperti menyembah syaitan serta gerakan Jangan Ikut Tuhan (JIT). Bagi sesetengah orang lain pula murtad berlaku secara senyap sama ada berpegang dengan agama lain ataupun melakukan upacara yang terpesong dari aqidah Islam.

Atas sebab-sebab tertentu golongan ini tidak mahu dikenal pasti dan hanya melakukan aktiviti keagamaan mereka secara senyap senyap sahaja.

Di Malaysia, undang-undang mengenai murtad terdapat dalam beberapa bentuk iaitu sebagai kesalahan cubaan murtad sebagaimana yang terdapat dalam Enakmen Jenayah Syariah di beberapa negeri seperti Perak, Melaka, Kelantan, Sabah, dan Negeri Sembilan.

Mahkamah syariah juga diberi bidang kuasa secara spesifik untuk mengisytiharkan seseorang itu tidak lagi beragama Islam. Manakala memurtadkan orang Islam pula telah dijadikan suatu kesalahan di bawah Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam Di Kalangan Orang Islam. Kesalahan di bawah enakmen ini pula dibicarakan di mahkamah sivil.

Gaya hidup yang tidak memberi penekanan hidup beragama telah mendedahkan orang Islam kepada kerapuhan iman. Akhirnya keyakinan terhadap ALLAH itu akan terhakis dari semasa ke semasa. Kemuncak krisis keyakinan terhadap ALLAH ini adalah tindakan seseorang ke arah murtad.

Nama-nama seperti Aisyah Haji Bohari, Hartina Haji Kamarudin, Azlina Jailani, Siti Fatimah Tan dan banyak lagi mungkin sudah tidak diingati oleh orang Islam. Tetapi nama-nama inilah yang sering bermain di bibir apabila membicarakan isu murtad dan membuktikan memang terdapat usaha memurtadkan orang Islam.

Mengatakan murtad merupakan hak kepada orang Islam merupakan suatu yang begitu jauh tersasar dari agama Islam itu sendiri. Perkara ini dapat dibuktikan apabila jenayah riddah ini telah pun dijadikan suatu kesalahan dan termasuk dalam kategori kesalahan hudud.

Malah berselindung di sebalik Perlembagaan Persekutuan dengan mendabik dada mengatakan hak asasi manusia membenarkan seorang Islam itu murtad juga sebenarnya tidak mempunyai asas yang kukuh dalam Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.

Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan memberi hak kepada mana-mana orang menganut dan mengamalkan agamanya. Perkara 11(1) tersebut hanya mengatakan orang Islam berhak menganut dan mengamalkan agama Islam. Begitu juga penganut agama lain seperti Buddha, Hindu dan Kristian bebas menganut dan mengamalkan agama mereka.

Perkara 11(1) tidak memberi hak kepada mana-mana orang bertukar-tukar agama. Pertukaran agama hendaklah dilakukan mengikut agama itu sendiri dan juga undang-undang yang berkuat kuasa.

Tiada hak yang diberikan oleh mana-mana undang-undang bersifat mutlak. Sudah tentu setiap hak yang diberikan mempunyai batasannya tertentu. Malah hak itu sendiri kebiasaannya diimbangi dengan tanggungjawab.

Isu murtad ini tidak boleh dilihat secara berasingan dari agenda menggasak agama Islam. Malah beberapa tindakan berangkai sekarang ini boleh menjurus kepada menjauhkan umat Islam dari sebarang bentuk tindakan atau organisasi agama di Malaysia.

Lama-kelamaan umat Islam akan hidup jauh dari agama dan di‘bebas’kan dari Islam. Pada ketika itu amat mudahlah orang Islam menjadi murtad.

Masalah murtad ini perlu ditangani secara bersepadu dan berhemah oleh semua pihak. Pihak berkuasa, keluarga, institusi agama NGO dan masyarakat sekeliling memainkan peranan penting bagi membanteras gejala murtad ini.

Pendekatan yang berhemah dan berterusan juga amat penting bagi keberkesanan dakwah dan mengelakkan orang Islam dari murtad. Pengukuhan aqidah, ibadah dan akhlak boleh diterap kepada umat Islam melalui undang-undang dan pendidikan. Keduanya harus berjalan seiring bagi memastikan keberkesanan dakwah Islam.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia


EmoticonEmoticon