jobs from my.neuvoo.com

15 April, 2016

Padah raba 'celah peha' pelajar

KUALA TERENGGANU - Gara-gara bertindak mencabul kehormatan seorang penuntut universiti awam di Gong Badak, seorang lelaki menerima padah apabila dipenjara enam bulan oleh mahkamah majistret, di sini, semalam.

Tertuduh, Muhammad Nazarulamin Roslan, 23, beralamat dari Kampung Pagar Besi, Batu Rakit, Kuala Nerus, dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku salah atas kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Nazarulamin didakwa telah mencabul seorang gadis berusia 22 tahun di Jalan Mengabang Telipot, Kuala Nerus, pada 1 Mac lalu, jam lebih kurang 8.55 pagi.

Dengan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara boleh sampai 10 tahun atau dengan denda, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan L Rathna di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang ketika itu dalam perjalanan menuju ke kampus yang terletak di Gong Badak, Kuala Nerus, bagi menghadiri kuliah dengan menunggang motosikal bersendirian telah dihampiri sebuah motosikal ditunggangi lelaki tidak dikenali dari arah belakang.

Bagaimanapun, mangsa tidak mengendahkan lelaki tersebut meskipun menyedari diekori kerana tidak menyangka sesuatu perkara buruk akan dilakukan olehnya.

Namun, setelah melepasi sebuah kedai perabot di Jalan Mengabang Telipot, Kuala Nerus, secara tiba-tiba motosikal ditunggangi lelaki tersebut menghampiri motosikal mangsa sebelum dengan pantas meraba celah pahanya.

Terkejut dengan tindakan itu, mangsa yang ingin mengelak terus terbabas di tepi jalan dan akibat kemalangan kecil itu, mangsa mengalami kecederaan ringan di tapak tangan, lutut dan buku lali.

Lelaki yang terus melarikan diri itu bagaimanapun berjaya ditangkap oleh pengawal keselamatan di pintu utama universiti apabila cuba menyembunyikan diri dengan memasuki kawasan universiti tersebut.


EmoticonEmoticon