jobs from my.neuvoo.com

31 Mei, 2016

Bahana jahil tentang kehamilan

KUALA LUMPUR 20 Mei - Pengetahuan tentang kesihatan seksual dan pembiakan (SRH) dalam kalangan remaja Malaysia kekal rendah dan mereka terus jahil tantang banyak aspek seks serta kehamilan.
Chew Mei Fun

Tinjauan yang dijalankan oleh Perspective Strategies Sdn. Bhd., terhadap 1,071 responden antara usia 18-29, pelbagai kaum dan di seluruh negara mendapati ramai yang tidak mempunyai cukup pengetahuan mengenai fungsi tubuh badan mereka.

Oleh yang demikian, tidak me­meranjatkan apabila seorang responden berkata, ada kawannya yang tidak tahu mereka boleh hamil sekiranya melakukan seks. Sementara itu, 71 peratus daripada responden perempuan berkata, mereka boleh hamil ketika datang haid.

Kajian itu juga mendedahkan 10 peratus daripada responden tidak mahu diuji dan dirawat terhadap kemungkinan terdedah kepada jangkitan bawaan seksual (STI) kerana bimbang dipulau kerana percaya ia sesuatu yang ‘mengaibkan’.

Tinjauan ini yang disokong oleh Durex Malaysia, jenama terkemuka dalam pengeluaran kondom oleh Reckitt Benckiser, memberi data yang bernilai untuk memudahkan perbincangan dalam kalangan pihak yang berkepentingan bagi menghasilkan program yang bersesuaian.

Timbalan Menteri Pembangunan Wa­nita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun yang hadir dalam majlis pembentangan hasil kajian itu berkata, isu SRH tidak lagi boleh dipinggirkan.

Ia seharusnya dibincang secara meluas kerana ia memberi kesan kepada golongan remaja di negara ini.

“Ramai anak muda yang tidak peka dengan isu berkaitan SRH berdasarkan kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). Contohnya, hanya 39.5 peratus mempunyai pengetahuan bagaimana bayi dilahirkan dan 45.5 peratus sahaja yang tahu apa dia rahim.

“Hasil kajian LPPKN juga mendapati 4.8 peratus rakyat Malaysia antara umur 13-24 pernah melakukan hubungan kelamin sementara lebih daripada satu pertiga (35.3 peratus) terdedah kepada pornografi kebanyakannya menerusi internet (60.8 peratus),” katanya.

Ketika subjek SRH masih dianggap larangan ‘taboo’, tidak dapat dinafikan remaja semuda 10 tahun melakukan hubungan seks. Untuk itu, ibu bapa perlu memainkan peranan penting untuk mendidik anak mereka me­ngenai kesihatan seksual.

Dengan menjadikannya sebagai keutamaan, Mei Fun dalam ucapannya berkata, LPPKN memperkenalkan program Parenting@Work.

Jelas beliau, program itu menjadikan keibubapaan sebagai teras dengan fokus memberi sokongan kepada keluarga secara keseluruhannya daripada hanya bertumpu kepada golongan remaja semata-mata.

“Ibu bapa memainkan peranan penting. Oleh yang demikian, menerusi program ini kami mendidik ibu bapa mengenai cara untuk bercakap dengan anak mereka tentang keseksualan,” tambah Mei Fun.

Sementara itu, tinjauan oleh Perspective Strategies juga menunjukkan 35 peratus lagi responden tidak percaya orang perempuan boleh hamil sewaktu pertama kali melakukan hubungan seks.

Sementara itu, seorang daripada 10 orang berkata mencuci faraj selepas melakukan hubungan seks boleh mencegah kehamilan.

Tinjauan itu juga mendedahkan bahawa 11 peratus daripada anak muda Malaysia yang aktif melakukan hubungan seks pernah mengalami STI.

Didapati juga hampir satu perempat (24 peratus) daripada mereka tidak mendapatkan rawatan.

Tinjauan itu juga mendapati bahawa 19 peratus anak muda Malaysia beranggapan menggunakan dua kondom pada satu-satu masa memberi lebih perlindungan.

Ketika bercakap dalam majlis itu, pengarah urusan Perspective Strategies, Andy See berkata, hakikatnya menggunakan dua kondom ketika melakukan kegiatan seks boleh menyebabkan kondom itu pecah akibat geseran.


EmoticonEmoticon