jobs from my.neuvoo.com

20 Mei, 2016

Habuan wang, wanita: Tuduhan jijik dan bacul - Azmin Ali

SUNGAI BESAR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan tuduhan wang dan permintaan perempuan dalam pentadbiran kerajaan negeri sebagai fitnah terancang terhadap pentadbirannya dan kakitangan awam di negeri ini.

Mohamed Azmin berkata, tuduhan yang disebarkan menerusi portal berita dan dikongsi menerusi laman sosial itu dianggap sebagai perbuatan jijik yang tidak disokong oleh sebarang bukti.

“Dalam melaksanakan serangan jahat dan semberono ini, orang yang menuduh sebenarnya telah mencemarkan nama baik, maruah serta integriti perkhidmatan awam negeri.

“Menuding jari kepada kerajaan negeri tanpa sebarang bukti sokongan dan kemudiannya menjaja tuduhan tersebut kepada semua pihak adalah satu tindakan bacul, tidak bertanggungjawab dan berniat jahat,” katanya.
Beliau berkata, fitnah terbabit juga sekali gus menafikan sumbangan majlis eksekutif yang telah menyumbang dengan cekap dan bertukus lumus kepada usaha kerajaan negeri membawakan pembangunan dan kemajuan sosio-ekonomi pada negeri ini.

Menurut beliau, pentadbirannya mengalu-alukan pemberi maklumat yang berhasrat untuk melihat kerajaan yang bersih dan bebas daripada rasuah.

“Dasar yang didukung adalah bagi mewujudkan kerajaan yang telus dan bertanggungjawab sepenuhnya tanpa tolak ansur terhadap elemen rasuah.

“Namun pada masa sama, kita semua bertanggungjawab untuk memelihara nama baik dan maruah kakitangan awam serta eksekutif daripada sebarang tuduhan liar yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Semalam, sebuah portal berita mendakwa selain wang, terdapat juga permintaan untuk mendapatkan wanita ketika berurusan dengan kerajaan negeri Selangor.

Difahamkan dakwaan mengejutkan itu timbul daripada perbualan WhatsApp yang bocor.


EmoticonEmoticon