jobs from my.neuvoo.com

19 Mei, 2016

Peniaga Bacakan Ayat Al-Quran Pada Produk, Kelirukan Pengguna Islam


TREND menggunakan nama agama dengan tujuan ‘melariskan’ dan untuk kepentingan peribadi peniaga adalah sesuatu yang tidak beretika dan melampau. Namun, itulah yang berlaku dalam kalangan peniaga hari ini.

April lalu Harian Metro melaporkan produk yang digelar “ayam terapi” dikatakan dijual dengan harga kira-kira RM14 untuk satu kilogram (kg), berbanding harga ayam biasa sekitar RM7/kg.

Laporan tersebut juga menyebut, “ayam terapi” yang dijual di sekitar ibu kota, selain turut dipromosikan di media sosial itu telah disahkan halal, mengikut hukum syarak dan melalui proses bacaan al-Quran.

Peniaga tersebut turut mendakwa bahawa elemen Ruqyah yang terdapat didalam ayam tersebut mampu mencegah bala dan penyakit.


Bagaimanapun, tinjauan Malaysian Digest juga mendapati selain produk ayam, satu lagi produk yang begitu popular dalam kalangan pengguna Melayu Muslim adalah air minuman botol yang turut didakwa ‘diberkati’ dengan ayat suci al-Quran dan doa-doa tertentu.

Dengan harga RM4.50 sebotol, peniaga produk tersebut mendakwa pengguna yang mengamalkan dan meminumnya mampu membantu menghilangkan kesakitan rohani dan jasmani termasuk membantu mencergaskan minda dalam kalangan kank-kanak.

Bagaimanapun, artikel ini bukan untuk mempertikaikan mukjizat al-Quran, namun ia lebih kepada mempersoalkan taktik segelintir peniaga yang dilihat mengeksplotasikan nama Islam semata-mata untuk mengaut keuntungan, dan sejauh mana kita peniaga meletakkan Islam sebagai garis panduan.
Sejauh mana Keaslian Produk ‘Suci’ Ini?

“Saya berpendapat dakwaan mereka membaca ayat al-Quran dalam produk dan pengiklanan sesuatu barang adalah lebih kepada untuk mengelirukan pengguna daripada tujuan sebenar,” kata Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman kepada Malaysian Digest.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sikap segelintir pengguna yang seolah sengaja menjaja nama Islam dalam menjalankan perniagaan.

Ditanya mengenai produk “ayam terapi”, Mohd Yusof menjelaskan ia terpulang kepada pengguna untuk mempercayai ataupun sebaliknya.

“Dia (penjual) mendakwa ayam tersebut dibacakan ayat al-Quran, tetapi kita tidak dapat mengesahkan sama ada betul atau tidak.

“Persoalannya, betulkan ayam itu dibacakan ayat al-Quran? Atau adakah mereka hanya memasang bacaan al-Quran pada pemain MP3? Di situ nampak unsur-unsur yang mengelirukan.

“Kita tahu motif sebenarnya adalah untuk mengaut keuntungan dalam perniagaan dan menggunakan Islam sebagai gimik untuk menarik pengguna,” jelasnya.

Turut senada dengan pendirian Mohd Yusuf, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, pengguna tidak dapat memastikan sama ada peniaga benar-benar membaca ayat suci tersebut, atau hanyalah sekadar ‘janji manis’ peniaga.

“Kita sebagai umat Islam yakin dengan kesempurnaan, mukjizat dan semua yang terkandung di dalam al-Quran. Tetapi kita mempersoalkan cara mereka (peniaga) menggunakan al-Quran untuk menjual produk mereka.

“Kita tak mahu sesiapa sahaja menggunakan agama sewenang-wenangnya untuk berniaga,” tegas Nadzim.

“Dalam Islam, ada peratusan keuntungan yang boleh diambil ketika menjalankan perniagaan.

“Tetapi mereka menjual produk pada harga yang lebih tinggi dengan hanya mendakwa produk mereka dibaca dengan ayat al-Quran, zikir dan doa,” tambah Nadzim.

Kenapa Pengguna Masih Beli Produk Ini?

Foto:MMOFoto:MMO

Meskipun beberapa produk yang dijual kononnya telah ‘diberkati’ dengan ayat al-Quran dan doa dijual dengan harga yang lebih mahal, persoalannya kenapa segelintir pengguna masih tertarik untuk membeli produk tersebut?

Ini kerana, kata Nadzim, peniaga terlalu yakin dan percaya dengan dakwaan yang dibuat oleh kebanyakan peniaga.

Bagi mendapatkan kepastian mengenai sambutan pengguna terhadap produk yang dibacakan ayat al-Quran, Malaysian Digest menemubual peniaga yang menjual produk tersebut di ibu kota, baru-baru ini.

Suhaila, 40, mengakui bahawa produk tersebut adalah paling popular dan sentiasa mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pengguna, selain pengguna lebih yakin untuk menggunakan produk yang dibacakan ayat al-Quran dalam kehidupan seharian mereka.

"Kebanyakan pengguna suka produk yang mempunyai bacaan ayat al-Quran di dalamnya kerana mereka percaya ia boleh menjadikan mereka lebih sihat dan meningkatkan daya ingatan pelajar," katanya yang berpengalaman selama 10 tahun dalam dunia perniagaan.

Suhaila memberitahu antara produk yang dibacakan ayat al-Quran adalah seperti air mineral, air minuman, kismis penerang hati, krim pencerah, pencuci muka dan banyak lagi.

Walau bagaimanapun, sebagai pengguna tidak semua produk yang dibacakan dengan ayat-Quran dan doa menarik minat mereka.

Sementara itu, beberapa orang pengguna pula berpendapat bahawa membacakan ayat al-Quran boleh menjadikan salah satu daya tarikan kepada pelanggan yang beragama Islam, bagaimanapun keberkesanan produk itu masih boleh dipersoalkan.

"Ia terpulang kepada kita sama ada untuk mempercayai produk itu ataupun tidak. Secara peribadi, saya tidak percaya produk tersebut dan itu tidak bermaksud saya tidak percaya dengan keajaiban al-Quran. Semua dakwaan yang dibuat penjual sukar untuk dipercayai,” kata seorang pengguna, Rohayu Abdul Rahman.

“Saya merasa tidak masuk akal untuk membaca ayat-ayat al-Quran kepada objek yang tidak bernyawa dan menjualnya dengan harga yang tinggi. Ianya jelas dan mudah untuk mereka menggunakan Islam bagi mendapatkan wang daripada pengguna yang tertipu terutamanya golongan yang terlalu fanatik dengan agama,” tambah seorang lagi pengguna, Azwan Zakaria.

Mufti Suarakan Kebimbangan

Pada Februari lalu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerusi kenyataannya memaklumkan bahawa semua syarikat yang memohon pensijilan halal perlu memastikan produk mereka tidak menggunakan ‘ayat Ruqyah’ iaitu ayat al-Quran berkaitan perubatan, ‘makanan sunnah’ dan seumpamanya untuk tujuan pengiklanan serta promosi.

Selain itu, Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Ke-108 yang bersidang November lalu memutuskan Hukum Penjualan Produk Menggunakan 'ayat Ruqyah' (Ayat al-Quran) adalah dilarang.

Memetik kenyataan Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman kepada Utusan Malaysia sebagai berkata, sebab utama terma-terma itu khususnya ‘ayat Ruqyah’ tidak dibenar digunakan pada label produk adalah kerana dibimbangi ayat-ayat al-Quran dipermainkan.

Tegasnya, agama bukan untuk dijual beli dan tidak boleh diniagakan, sebaliknya digunakan untuk beribadat.

“Asalnya tidak salah, kalau ada orang sakit datang jumpa untuk berubat, lepas itu kita bacakan ayat-ayat al-Quran pada air dan beri minum, itu tidak salah. Tetapi untuk guna semata-mata demi perniagaan itu tidak boleh.

“Contohnya bacakan al-Quran pada air, kita yakin bagaimana bacaannya? Betul ke bacaannya? Al-Quran ini untuk ibadat, bukan untuk individu kaut untung.

“Saya bimbang ada pihak mengeksploitasi ayat-ayat al-Quran, takut ada yang seleweng sehingga menyebabkan kepercayaan kepada agama, sunnah goyah. Sebab itu tidak boleh letak terma-terma ini pada label produk,” katanya kepada akhbar tersebut.

Selain itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad turut melahirkan pendirian yang sama terhadap keputusan Jakim melarang menggunakan perkataan ‘ayat Ruqyah’ kerana bimbang wujud unsur penipuan dan boleh mendatangkan fitnah kepada al-Quran.

“Contohnya ada orang beli produk yang guna label ‘ayat Ruqyah’, ‘makanan sunnah’, dia yakin boleh sembuh tiba-tiba tidak sembuh, apa kata dia nanti? Sebab kuasa menyembuh ini pada Allah, bukan ubat-ubatan.

“Perbuatan ini boleh hakis imej Islam itu sendiri. Sebab itu Jakim halang guna terma-terma seperti disebutkan itu,” kata Mohamad Shukri.

Ketua Pengarah (Operasi) Jakim, Othman Mustapha menegaskan bahawa tindakan meletakkan apa-apa terma pada label produk boleh disifatkan sebagai menipu pengguna kerana mereka mempercayai bahawa produk yang ditawarkan adalah berfungsi dengan lebih baik kerana produk tersebut telah dibacakan dengan ayat-ayat al-Quran, zikir dan doa-doa tertentu.

“Produk yang mempunyai 'makanan sunnah' atau makanan dan minuman yang dibacakan dengan ayat al-Quran sering dikatakan makanan yang terbaik.

"Selain itu, terdapat produk yang menggunakan air zam zam sebagai sebahagian daripada campuran dalam produk, tetapi kuantitinya terlalu sedikit dan peniaga menyatakan pada label sebagai sebahagian bahan (dalam penghasilan produk itu),” kata Othman dalam satu kenyataan.

Kebanyakan peniaga percaya bahawa mereka boleh mengaut keuntungan lebih baik dan kekal lebih lama dalam sesebuah perniagaan sekiranya mereka mengamalkan ‘konsep’ Islam dan ia seolah menjadi satu stigma dalam fikiran peniaga bahawa perniagaan tanpa istilah Islam akan menjadikan perniagaan mereka lambat dan tidak dapat menarik ramai pelanggan.

Perniagaan Islam Mesti Mengutamakan Keberkatan

Menurut Othman, Islam telah memberi garis panduan yang cukup jelas mengenai cara untuk seseorang menjalankan perniagaan.

“Ayat al-Quran digunakan dengan tujuan kita hendak baca hari-hari atau amalkannya (dalam kehidupan).

“Tetapi jika seseorang itu meletakkan ayat-ayat suci seperti ayat 1,000 dinar dan tidak tahu pula maknanya serta dia menyatakan ayat itu boleh menyebabkan kedainya laris, itu salah sama sekali,” katanya dipetik sebagai berkata.

Sememangnya menurut al-Quran dan firman Allah, keuntungan yang baik hanya boleh datang daripada-Nya:

“Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.” (Al-Baqarah 2:245)

Sebagai seorang pengguna, Ibn Kathir dalam tafsirnya berkata, Allah menggalakkan hamba-Nya untuk berbelanja di jalan-Nya, seperti mana yang dinyatakan dalam al-Quran.

“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.” (A-li'Imraan 3:92)

Setiap umat Islam perlu mematuhi etika perniagaan selaras dengan undang-undang perniagaan Islam. Keuntungan bukanlah cara untuk mencapai kejayaan dalam perniagaan, tetapi sebaliknya umat Islam perlu berusaha untuk mendapatkan keberkatan.

Sememangnya, Islam adalah satu cara hidup. Dan apa-apa perbuatan ibadat memerlukan iman dan keikhlasan. Dan jika tujuan anda adalah untuk mendapatkan sesuatu penawar, tidak ada rahsia kecuali meminta kepadaNya, dan bukannya bergantung kepada produk kerana Allah yang lebih berkuasa (penyembuhan).

- mD


EmoticonEmoticon