jobs from my.neuvoo.com

23 Mei, 2016

Tukang kebun bernafsu buas

KUALA LUMPUR 20 Mei – “Kes rogol merupakan satu kesalahan serius, malah keseriusannya bertambah apabila melibatkan mang­sa yang bergelar orang kurang upaya (OKU) apatah lagi ia berlaku di sekolah yang sepatutnya menjadi tempat paling selamat bagi setiap pelajar”.

Itu antara intipati keputusan oleh seorang hakim Mahkamah Sesyen di sini hari ini sebelum menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun dan sebatan lima kali terhadap seorang tukang kebun sekolah warga Pakistan yang didapati bersalah merogol seorang pelajar lembam berusia 14 tahun, tahun lalu.

Hakim Datin M. Kunasundary memerintahkan Umar Zeb, 25, menjalani hukuman tersebut bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 28 Ogos 2015.

Hakim tersebut dalam keputusannya berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan wujudnya keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

“Tertuduh dalam kes ini telah mengambil kesempatan ke atas seorang remaja istimewa untuk memuaskan nafsunya.

“Mahkamah tidak boleh tutup mata kepada kehendak masyarakat yang mengharap­kan keadilan dalam kes ini. Mahkamah juga memikul tanggungjawab yang besar untuk pastikan pesalah dihukum dengan hukuman setimpal untuk menjadikannya sebagai pengajaran,” kata beliau.

Dalam pada itu, hakim tersebut turut menasihatkan pihak sekolah agar mengambil langkah proaktif dalam membuat tapisan setiap pekerja yang digajikan lebih-lebih lagi melibatkan warga asing.

Mengikut pertuduhan, Umar didakwa merogol pelajar perempuan tersebut di dalam bilik transit, aras satu, bangunan sekolah menengah di Putrajaya, dekat sini antara pukul 3 dan 4 petang, Ogos 2015.

Pertuduhan terhadap lelaki warga asing itu dikemukakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Terdahulu, peguam Anis Syazween Mohd. Zawawi yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadap anak guamnya dengan alasan tiada kekerasan berlaku dalam kes tersebut.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd. Radzi yang mengendalikan pendakwaan memohon hukuman berat dengan melihat kepada faktor bahawa tertuduh telah mengambil kesempatan terhadap seorang pelajar OKU.

Seramai 11 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan dipanggil untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes bermula 24 Oktober tahun lalu.


EmoticonEmoticon