jobs from my.neuvoo.com

03 Julai, 2016

Akhirnya, punca perletakan jawatan Husni dihurai panjang lebar

Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah mengesahkan beliau memilih untuk menamatkan karier politiknya selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuat keputusan untuk memindahkannya ke kementerian lain.

Katanya, beliau pada asalnya hanya membuat keputusan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14, namun mengubah keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai menteri kewangan kedua.

"Pada 27 Jun (2016), selepas mesyuarat Majlis Ekonomi, saya bertanya perdana menteri, adakah benar PM akan menukar portfolio saya dalam rombakan Kabinet yang akan diumumkan pada petang itu?

"PM mengesahkan saya akan ditukar portfolio.

"Saya memaklumkan PM bahawa saya telah tetapkan dalam fikiran bahawa saya akan mengakhiri dunia politik di Kementerian Kewangan," katanya seperti dilapor Berita Harian.

Sehubungan itu, kenyataan tersebut juga seperti mengesahkan spekulasi yang dibuat blogger Raja Petra Kamaruddin yang mendakwa Husni meletakkan jawatannya kerana kecewa apabila Najib ingin memindahkannya ke Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Akhbar itu melaporkan, Husni menjelaskan beliau membuat keputusan sedemikian memandangkan hanya mempunyai tempoh perkhidmatan selama satu setengah tahun.

Katanya lagi, sekiranya beliau ditukar ke portfolio lain dalam tempoh berkenaan, ia tidak mencukupi untuk membolehkannya berkhidmat dengan efektif.

Selain itu, anggota parlimen Tambun itu berkata, beliau juga perlu menghadiri pelbagai acara sekiranya perlu berkhidmat di usianya yang lewat 60-an sedangkan Husni berkata, beliau ingin melalui fasa lain dalam kehidupannya.

"Saya berasakan dunia pekerjaan kini lebih sesuai dilaksanakan oleh generasi yang lebih muda daripada diri saya. Dengan umur mencapai 60-an, adakah saya patut meneruskan perkhidmatan?

"Kerja-kerja sebagai menteri kewangan II begitu rumit membabitkan antara lain menguruskan Dasar Fiskal, bajet, memantau kedudukan kewangan, hutang negara, tender, 1MDB, syarikat-syarikat kewangan diperbadankan, menentukan harga minyak di pasaran, memantau pasaran kewangan serta pasaran modal, serta menghadapi pelbagai isu persepsi," katanya.

Najib pada 27 Jun lalu mengumumkan rombakan kabinet kali ketiga sejak menerajui negara. Najib juga mengumumkan 'kenaikan pangkat' Datuk Johari Abdul Ghani daripada timbalan menteri kewangan kepada menteri kewangan kedua bagi menggantikan Husni yang meminta untuk berundur atas sebab peribadi.


EmoticonEmoticon