jobs from my.neuvoo.com

15 Julai, 2016

Cetak Duit Sendiri Di Rumah

KUALA LUMPUR: Sara hidup dengan mencetak wang palsu di rumah. Itu antara kegiatan jenayah seorang lelaki tempatan yang menyimpan impian bergelar jutawan segera.

Suspek berusia 35 tahun itu dikesan menjalankan kegiatan itu bersendirian sejak tiga bulan lalu dan mencetak wang palsu berkenaan untuk kegunaan sendiri.

Kegiatan suspek bagaimanapun dibongkar selepas kediamannya di Jalan Rusa, Kampung Genting Klang Baru, Selangor, diserbu polis malam kelmarin, selain wang palsu berjumlah lebih RM1,500 dirampas.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, tindakan diambil pihaknya selepas mendapat maklumat daripada orang ramai berhubung aktiviti haram.

“Polis kemudiannya membuat risikan sebelum sepasukan polis dari Balai Wangsa Maju diketuai Ketua Balai Asisten Superintendan Cleda F Among pergi ke rumah suspek jam 7 malam.

“Setibanya di lokasi, kami bertindak menahan suspek dan membuat pemeriksaan di kediaman itu. Polis menemui pelbagai alatan untuk mencetak wang haram selain menemui wang palsu yang siap dicetak,” katanya, semalam.

Menurutnya, polis kemudiannya menahan suspek selepas menemui pelbagai bukti yang cukup untuk mengaitkan lelaki itu dengan aktiviti pemalsuan wang.

“Antara peralatan yang dirampas adalah mesin pencetak, gunting, sebotol gam kertas, pembaris besi, pisau pemotong kertas dan pensel.

“Wang palsu siap dicetak yang ditemui adalah enam keping bernilai RM100, sembilan keping RM50, tiga keping RM20 dan sekeping bernilai RM10,” katanya.

Mohamad Roy berkata, polis turut menemui dua helai kertas tertera not RM100, RM50 dan RM10 yang belum sempat dipotong.

Beliau berkata, lelaki ini dipercayai bergerak secara solo dan tidak membabitkan mana-mana kumpulan sindiket pemalsuan wang.

“Kami percayai suspek aktif sejak tiga bulan lalu dengan mencetak wang bagi kegunaan sendiri. Suspek tidak mengedarkan wang palsu itu kepada mana-mana kumpulan,” katanya.

- Harian Metro


EmoticonEmoticon