jobs from my.neuvoo.com

17 Julai, 2016

Daif melampau, penyanyi Sahara Yaacob lulus permohonan PPR

Sahara Yaacob
KUALA LUMPUR: Keperitan hidup Sahara Yaacob, 60, mendapat perhatian segera Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) apabila meluluskan penyewaan sebuah unit kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam Sungai Besi, di sini, kepada penyanyi itu, yang boleh diduduki bermula 1 Ogos depan.

Penolong Pengarah Kanan Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti DBKL, Fatanah Ibrahim, berkata proses penyerahan kunci dipercepatkan selepas melihat sendiri keadaan tempat tinggal penyanyi terbabit, selain masih bersandarkan syarat permohonan asal.

"DBKL prihatin dengan situasi dilaluinya yang belum mempunyai tempat berteduh selesa, ditambah statusnya tanpa sumber pendapatan dan hidup sendirian. PPR Seri Alam yang disewakan kepadanya mempunyai tiga bilik tidur dan kira-kira lima minit daripada pusat bandaraya," katanya selepas penyerahan surat tawaran kepada penyanyi berkenaan di Kampung Melaka, Hulu Langat, petang tadi.

Sebelum ini, BH Ahad melaporkan Sahara yang terkenal dengan imej berani dan fesyen rambut unik hidup sendirian dalam bilik stor yang dibina di kawasan rumah arwah kakaknya di Hulu Langat, Selangor.
Imej terkini Sahara Yaacob

Keadaan hidup Sahara atau nama sebenarnya Zaharah Mohd Yaacob yang daif selepas berpisah dengan bekas suami, dua tahun lalu, mengundang perhatian banyak pihak termasuk Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) yang membantu mendapatkan rumah DBKL bagi penyanyi terbabit.

Sementara itu, Sahara mengakui terharu apabila DBKL meluluskan permohonan yang dibuat SENIMAN tidak sampai sebulan borang diserahkan kepada pihak terbabit.

"Terima kasih kepada semua pihak, terutama BH, yang memaparkan kisah saya selain agensi dan persatuan yang menghulurkan bantuan. Hanya syukur yang mampu saya luahkan.

"Sudah pasti keprihatinan mereka seakan-akan membawa sinar dan menyuntik semangat untuk saya terus melangkah serta meneruskan kehidupan dengan lebih optimis," katanya yang merancang mengadakan konsert selamat jalan besar-besaran pada tahun depan.

Akuinya, buat masa ini beliau berharap ada pihak sudi membiayai rawatan gigi untuk membolehkannya merealisasikan impian berkenaan.

"Bukan bermakna saya tidak menyanyi lagi selepas konsert itu, tetapi ia lebih kepada kepada persembahan mega julung kali di khalayak ramai kerana sebelum ini kebanyakan aksi saya lebih tertumpu di pusat hiburan, secara ekslusif.

"Usai konsert saya akan terus menghiburkan orang ramai. Namun, menjadi harapan saya agar lagu saya termasuk yang menyentuh isu kemanusiaan, perpaduan kaum dan penyalahgunaan dadah dapat diputarkan di radio," katanya lagi.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/173890?m=1


EmoticonEmoticon