26 Julai, 2016

Harapan baru pesakit kanser


Berbaloikah ‘pelaburan’ puluhan ribu ringgit untuk membayar rawatan kanser bagi memanjangkan hayat pesakit selama beberapa bulan? Ini yang menjadi topik perbualan penulis bersama beberapa rakan wartawan. Kami lebih rela menggunakan wang yang ada untuk melihat keindahan dunia atau ditinggalkan kepada ahli keluarga.

Itu pendapat peribadi ketika sihat yang mungkin berubah jika kami disahkan menghidap kanser. Walaupun dianggap sudah sampai ke hujung nyawa, pesakit kanser mempunyai banyak impian untuk ditunaikan. Ia mungkin impian melihat anak berumah tangga, menyambut kelahiran cucu pertama atau apa saja. Bagi mereka, beberapa bulan yang dilihat singkat itu adalah tempoh yang amat berharga.

Malah, tempoh beberapa bulan itu juga bukan satu kepastian. Ia hanya jangkaan atau anggaran doktor berdasarkan pengalaman dan kepakaran mereka. Dengan rawatan, pesakit mungkin dapat hidup lebih lama dan menjalani kehidupan berkualiti yang jauh lebih bermakna.

Ia dapat direalisasikan dengan adanya pelbagai kaedah baru dalam rawatan kanser seperti transplan sel stem, terapi imun (imunoterapi), ablasi haba (ablasi krio atau gelombang mikro) dan yang terkini elektroporasi tak berbalik (irreversible electroporation, IRE).

Semua teknologi baru ini adalah sebagai tambahan kepada kaedah rawatan tradisional kanser iaitu pembedahan, kemoterapi dan radioterapi yang masih menjadi rawatan standard di seluruh dunia selain laser, terapi bersasaran dan hormon.

Antara yang menjadi tumpuan kini ialah terapi ablasi sama ada sejuk atau panas. Ablasi bermakna pembuangan atau pemisahan suatu bahagian daripada sesuatu organ melalui pelbagai kaedah seperti pembedahan, laser atau embolisasi.

Ablasi krio yang juga dipanggil pembedahan krio atau terapi krio kini menjadi kaedah popular dalam merawat kanser yang tidak boleh dirawat melalui pembedahan.

Menurut Ketua Presiden Hospital Kanser Fuda, Prof Xu Kecheng, rawatan kanser adalah sangat mencabar kerana sehingga kini belum ada satu kaedah khusus yang boleh digunakan untuk menyembuh penyakit yang sering dikaitkan dengan kematian itu.

Serangan berulang sering terjadi menyebabkan rawatan semakin sukar dan tiada jaminan sembuh sepenuhnya. Justeru tidak hairan jika pakar perubatan di seluruh dunia kini menyasarkan untuk memanjangkan jangka hayat dan memperbaiki kualiti hidup pesakit.

“Kalau boleh kita mahu jadikan kanser sebagai penyakit yang terkawal. Masih banyak usaha dan kajian perlu dilakukan untuk sampai ke peringkat itu. Buat masa ini, terapi krio antara yang menjadi pilihan bagi kanser yang tidak boleh dirawat menggunakan kaedah standard seperti kanser pankreas,” katanya dalam Forum Rawatan Kanser Antarabangsa Ke-5 2016 di Guangzhou, China anjuran bersama Persatuan Pembedahan Krio Antarabangsa dan Persatuan Pembedahan Krio Asia di bawah tajaan Hospital Kanser Fuda, Fakulti Perubatan Universiti Jinan dan First Affiliated Hospital of Shenzen University.

Terapi krio

Menurut Prof Xu, buat masa ini terapi krio digunakan untuk kanser yang tidak boleh dibedah. Terapi krio ialah sistem perubatan pelbagai fungsi yang menggabungkan ablasi suhu sejuk serendah -150 darjah Celsius dengan pembedahan minimal (luka kecil) dan penambahbaikan daya ketahanan badan (imun).

Teknologi ini boleh memusnahkan ketumbuhan (kanser), mencegah sel kanser merebak, tidak menyakitkan dan pesakit boleh kembali menjalankan aktiviti harian selepas beberapa hari.

Terapi krio ialah ablasi haba sejuk menggunakan gas kriogenik iaitu argon dan helium dalam bentuk cecair. Ia juga dikenali sebagai rawatan kanser yang menggunakan pendekatan haba sejuk dan panas yang ekstrem. Secara umumnya, cecair argon berfungsi untuk membekukan tumor pada suhu -120 hingga -180 darjah Celsius yang akan menyebabkan sel kanser menjadi gumpalan nekrosis (seperti seketul ais) dan helium pula digunakan untuk memanaskan gumpalan tumor beku berkenaan hingga mencapai suhu 40 darjah Celsius.

Selepas tiga hingga lima minit, prosedur ini diulang beberapa kali mengikut keperluan. Kaedah pembekuan dan pemanasan melampau ini akan memusnahkan sel kanser.

Pembedahan yang menggunakan ‘Pisau Argon-helium’ (dua batang rod kecil) dilakukan di bawah imbasan bunyi atau tomografi berkomputer (CT). Jadi luka pembedahannya sangat kecil, kurang pendarahan dan cepat sembuh.

Bagi tumor yang kecil, pisau ini boleh dicucuk terus ke tumor dari mana-mana sudut. Bagi tumor yang besar, beberapa pisau dicucuk serentak supaya ia boleh menghasilkan gumpalan ais meliputi seluruh tumor.

Walaupun kedengaran mudah tetapi terapi krio ada kesan sampingan tersendiri kerana ia boleh merosakkan saraf, duktus hempedu, salur darah berhampiran.

Di Hospital Kanser Fuda contohnya, terapi krio berfungsi sebagai kaedah pemusnahan radikal bagi kanser yang bersaiz kecil, mengecilkan saiz tumor yang tidak boleh dibedah, digunakan dalam pembedahan membabitkan pembekuan tumor dan menjadi rawatan untuk mengurangkan kesakitan akibat kanser.

“Bagi kanser yang sudah memasuki peringkat tiga atau empat, terapi krio digunakan untuk membuang semua atau sebahagian besar lesi atau tompok kanser dengan sasaran dapat memanjangkan jangka hayat pesakit dan meningkatkan kualiti hidup pesakit. Kami harap pesakit kanser ini dapat menjalani hidup dalam keadaan sejahtera dan tidak dibelenggu kesakitan.

“Bagi sesetengah pesakit yang bertuah, mereka hanya perlukan satu kaedah rawatan. Namun biasa­nya kebanyakan pesakit memerlukan kombinasi rawatan seperti pembedahan yang kemudian diikuti kemoterapi, radioterapi atau terapi lain yang lebih terkini. Terapi krio juga digunakan untuk kanser yang terlalu besar dan tidak boleh dibuang sepenuhnya melalui pembedahan,” katanya.

Ia juga digunakan untuk merawat kanser paru-paru, hati, pankreas, payudara, ovari, prostat, buah pinggang, kepala dan leher, tumor tisu lembut, melanoma dan otak.

Kelebihannya, ia membabitkan luka pembedahan yang kecil, kurang masalah berbanding pembedahan konvensional (dari segi kesakitan, pendarahan, serangan berulang dan metastasis atau kanser merebak) yang sekali gus mengurangkan kebimbangan pesakit untuk mendapatkan rawatan.

Pisau Nano

‘NanoKnife’ atau elektroporasi tak berbalik (IRE) ialah teknologi ablasi terbaru dalam rawatan kanser yang menggunakan arus elektrik untuk memusnahkan ketumbuhan kanser dan mendapat kelulusan USFDA pada 2012.

IRE digunakan untuk merawat kanser yang tidak boleh dibedah atau berada pada kedudukan yang sukar dicapai termasuk pada struktur kritikal (contohnya leher, kelangkang dan ruang pelvis yang padat dengan saraf) dan salur darah utama. Ia juga boleh digunakan untuk merawat kanser pankreas, otak, tulang, payudara, salur darah, buah pinggang dan prostat.

Berbanding terapi krio yang boleh merosakkan tisu bersebelahan, arus elektrik dalam IRE hanya memusnahkan tumor kanser. Dalam kaedah ini, dua rod (positif dan negatif) akan diletakkan pada kedua-dua belah tumor. Apabila arus elektrik dialirkan, ia akan membentuk padang elektronik bervoltan tinggi (sehingga 2,000 volt) yang dipantau menerusi imbasan bunyi atau CT. Voltan yang tinggi ini menyebabkan pembentukan nekrosis pada tumor yang mematikan sel kanser.

Antara kelebihan teknik IRE ialah luka pembedahan yang kecil, kurang kerosakan pada tisu lain, kurang kesan sampingan dan kesakitan, tempoh penyembuhan lebih cepat serta tidak perlu berada lama di hospital. Lebih penting, kaedah ini boleh diulang sekiranya ada ketumbuhan baru.

Bagaimanapun, kaedah IRE yang pertama kali perkenalkan di China (pada 2015 - pembedahan pertama ke atas pesakit kanser pankreas) juga ada kekurangannya. Oleh kerana IRE membabitkan arus elektrik, maka ia tidak sesuai untuk merawat pesakit yang ada masalah jantung atau memakai alat perentak jantung (pacemaker) dan kosnya juga amat tinggi - sekitar sejuta yuan (kira-kira RM600,00) untuk sekali rawatan!

Pensyarah Fakulti Perubatan Universiti Jinan merangkap Presiden Hospital Kanser Fuda Prof Nu Lizhi berkata, bukan semua kanser kanser hilang sepenuhnya melalui kaedah ablasi (terapi krio dan IRE) kerana ia bergantung kepada tahap penyakit seseorang.

“Kalau kanser masih pada peringkat awal, ia mungkin boleh ‘dibersihkan’ sepenuhnya. Namun jika kanser sudah masuk peringkat serius atau akhir, terapi krio dan IRE hanya sebagai rawatan paliatif untuk mengurangkan kesakitan, kesengsaraan dan meningkatkan kualiti hidup pesakit,” katanya.

Bagi kanser yang amat sukar dirawat seperti kanser pankreas (dianggap raja kanser), IRE dilihat kaedah paling sesuai buat masa ini. Biasanya jangka hayat pesakit kanser pankreas selepas mendapat rawatan adalah kurang daripada 10 bulan. Namun kini dengan adanya IRE, jangka hayat itu meningkat dua kali ganda - berdasarkan kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat.

“Ini adalah pencapaian yang sangat menggembirakan. Ada orang berkata kami terlalu mengutamakan terapi krio dan IRE. Kebanyakan pesakit yang datang berjumpa kami sudah pun menjalani pembedahan, kemoterapi atau radioterapi. Jadi pilihan yang tinggal untuk mereka ialah terapi ablasi.

“Kami memberikan rawatan mengikut standard sejagat. Kami akan jalankan pemeriksaan dan penilaian terlebih dulu. Jika pesakit perlu pembedahan dan kemoterapi, itu yang akan kami lakukan. Rawatan ablasi akan diberikan sekiranya pesakit tidak sesuai untuk menjalani pembedahan atau rawatan lain tidak memberi kesan,” katanya.

Perkembangan mengujakan

Ramai menganggap bidang perubatan di negara kita jauh ketinggalan berbanding negara lain. Hakikat ini tidak benar kerana apa yang kita miliki setanding dengan perkembangan dunia perubatan dunia.

Menurut Pakar Bedah Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr Chin Kin Fah, teknik ablasi krio contohnya sudah lama digunakan di Malaysia, tetapi untuk sesetengah jenis kanser selepas rawatan pertama melalui pembedahan tidak menunjukkan keputusan yang diharapkan.

Dalam teknik ablasi, pakar bedah perlu sangat berhati-hati kerana ada banyak perkara yang perlu diambil kira terutama kebimbangan tumor pecah ketika pembedahan dan sel kanser boleh tersebar ke organ lain yang akan memburukkan lagi keadaan.

“Kadar kelangsungan hidup atau jangka hayat pesakit selepas mendapat rawatan menggunakan terapi krio juga berbeza, tertakluk kepada tahap kanser yang dialaminya. Memang saya mahu bawa balik teknologi yang mengujakan ini ke Malaysia jika ada dana kerana mesin IRE sangat mahal,” katanya.

Benarkah dakwaan sesetengah pihak mendapatkan rawatan di luar negara contohnya di China lebih murah?

“Pada pendapat saya, kosnya lebih kurang sama dengan di Malaysia. Walaupun caj rawatan itu mungkin agak rendah, kita perlu menimbangkan kos luaran seperti pengangkutan, tempat tinggal, makan minum dan keperluan lain untuk penjaga sepanjang tempoh pesakit menerima rawatan. Itu belum masuk kos tambahan kerana pesakit masih perlu mendapatkan rawatan susulan.

“Bagaimanapun, saya sendiri teruja dengan perkembangan baru dalam rawatan kanser. Ia memberi lebih banyak pilihan kepada pesakit untuk mendapatkan rawatan. Mereka boleh memilih kaedah yang terkini untuk meningkatkan kualiti hidup masing-masing,” katanya.



EmoticonEmoticon