jobs from my.neuvoo.com

03 Julai, 2016

Hina Najib, pelawak Singapura digesa diharamkan ke Malaysia

Pemuda Umno Wilayah Persekutuan meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan kemasukan pelawak dari Singapura, Fakkah Fuzz ke Malaysia kerana menggelarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai 'pencuri'.

Ketuanya, Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, tindakan pelawak berkenaan merupakan perbuatan biadap dan tidak sepatutnya berlaku memandangkan kedua-dua negara berjiran memiliki hubungan akrab sejak puluhan tahun.

"Sebagai pelawak, tentunya ada pelbagai cara dan idea lain untuk membuatkan orang tertawa. Tapi menjadikan pemimpin negara jiran sebagai bahan sindiran, itu adalah tindakan tidak bijak dan matang.

"Sebagai anak Malaysia, kami amat terkesan dengan sindiran tak berakal ini dan menggesa supaya pihak KDN mengambil ketetapan mengharamkan Fakkah Fuzz memasuki Malaysia.

"Negara kita tak sedikit pun rugi sekiranya orang sebegini tidak berada di Malaysia," katanya pada satu kenyataan media.

Baru-baru ini satu klip video memaparkan aksi Fuzz tersebar luas di media sosial dan melalui jenaka itu beliau bercerita mengenai 'perbezaan' penggunaan bahasa orang Melayu Malaysia dan Singapura.

Beliau berkata: "Apabila kita ada thief, di Singapura kita panggil pencuri. Di Malaysia mereka panggil perdana menteri. Jadi ia memang sangat berbeza."

Razlan berkata, Fakkah Fuzz sepatutnya melihat masalah dihadapi penduduk Singapura terlebih dahulu sebelum menghina pemimpin di Malaysia.

"Nasihat PPUWP kepada Fakkah Fuzz, lihat dahulu masalah serta kekusutan bangsa sendiri di negara sendiri sebelum menghina pemimpin negara kami yang banyak jasanya kepada pelbagai kaum dan bangsa di sini malahan di negara-negara Asia yang lain," katanya.


EmoticonEmoticon