jobs from my.neuvoo.com

20 Julai, 2016

Kecewa masjid tak peduli, pelarian Islam tukar Kristian

Di gereja St Mark di England, Rev. Sally Smith aktif membantu pelarian Islam bertukar agama walau dibantah jemaah gereja. — Paparan skrin Google 

LONDON, 20 Jul — Sikap tidak ambil peduli sesetengah masjid di United Kingdom terhadap pelarian Islam dari Timur Tengah menyebabkan mereka berpaling agama dan memeluk Kristian.

Pelarian Iran, Naziyar Morajabi, 25, kecewa apabila masjid menghalaunya dan tidak memberikan sebarang bantuan ketika beliau sangat memerlukan bantuan.

Beliau yang tiba di UK pada tahun 2014 dihantar ke asrama di Birmingham, kemudian ditukarkan ke Stoke sebelum menjadi gelandangan.

“Ketika menjadi gelandangan saya pergi ke masjid, merayu untuk tinggal di dalamnya hanya untuk dua jam dan meminta sedikit makanan. Saya tidak ada tempat lain hendak pergi.

“Ketua masjid itu berkata saya tidak dibenarkan duduk di situ kerana masjid bukan tempat untuk tidur,” katanya seperti dilapor The Guardian kelmarin.

Seorang pelarian rakyat Palestin yang enggan dikenali berkata beliau terpaksa merahsiakan status agama Kristiannya kerana bimbang ia membahayakan nyawa.

Katanya, gereja sering membantunya dari segi kewangan dan ia memiliki sumber yang banyak.

“Pada suatu ketika saya yang tidak ada tempat tinggal singgah di sebuah masjid di London, ketika itu salji sedang turun.

“Lima hari saya bergelandangan di jalanan, saya merayu mereka benarkan saya masuk ke masjid untuk satu hingga dua jam.

“Saya tidak minta lebih, hanya tempat untuk memanaskan badan tetapi mereka menghalau saya,” katanya.
Naziyar dan pemuda Palestin itu antara pelarian-pelarian yang bertukar agama kepada Kristian, contoh kecil pelarian Islam yang makin ramai murtad di seluruh Eropah, lapor portal itu lagi.

Di Stoke-on-Trent, kira-kira 160 kilometer di barat laut London, pertukaran agama diketuai Rev. Sally Smith. Gereja St Marks itu yang sering dikunjungi kelas menengah bertukar pusat pelarian.

Sejak tiga tahun lalu, Smith yang digelar “Ibu Sally” memberi perlindungan kepada pelarian, memberi mereka makanan, pakaian dan keperluan perubatan.

Kebaikannya mendorong pelarian bertukar Kristian, kira-kira tiga atau empat orang seminggu, termasuk mereka yang mendengar khabar khidmat kebajikannya di sini.

Namun kemurahan hati Smith mengundang rasa tidak senang pengikut asal gereja yang berkulit putih. Ramai meninggalkan jemaah kerana tidak selesa dengan caranya membantu pelarian.

“Cabaran terbesar saya adalah sikap jemaah gereja. Saya terima banyak bantahan. Kritikan, sikap negatif dan cuba melekehkan usaha ini — mereka itu jemaah berkulit putih Britain.

“Saya kehilangan ramai anggota jemaah kerana apa yang berlaku di gereja. Mereka tidak mahu susah payah dan mereka tidak mahu gereja dicemari.

“Mereka melihat gereja mempunyai peranan tertentu dan membuka pintu kepada pelarian bukan satu daripada peranannya,” kata wanita 58 tahun itu kepada The Guardian.

Namun Smith tidak mengendahkan semua halangan itu walau beliau bukanlah mentah.

Beliau mengakui ada yang memeluk Kristian kerana mereka percaya ia memudahkan permohonan suaka politik diluluskan, namun jumlah itu sangat sedikit.
Mohammad Eghtedarian, pelarian Iran yang bertugas di Katedral Liverpool (foto), melalui saat perit termasuk dikurung di pusat tahanan sebelum menganut Kristian. — Paparan skrin Google

Mohammad Eghtedarian, pelarian Iran yang bertugas di Katedral Liverpool (foto), melalui saat perit termasuk dikurung di pusat tahanan sebelum menganut Kristian. — Paparan skrin Google

Bulan lalu, memetik laporan awal The Guardian, ProjekMMO melaporkan makin ramai pelarian Islam memeluk Kristian, menurut gereja yang pernah mengadakan upacara pembaptisan.

Data kukuh belum ada tetapi cerita-cerita lisan membayangkan makin orang Islam — yang lari daripada konflik, penindasan dan keperitan ekonomi Timur Tengah dan Asia Tengah — ke gereja.

Faktor-faktor murtad termasuklah tertarik dengan agama baru, tanda terima kasih kepada kumpulan Kristian yang membantu dalam kegetiran dan harapan dapat suaka politik.

Di sebuah gereja di pinggir Berlin, pengikutnya meningkat daripada 150 orang dua tahun lalu kepada hampir 700 orang, kebanyakan orang Islam, kata pastor Gottfried Martens.

Awal tahun ini, gereja-gereja di Berlin dan Hamburg dilaporkan mengadakan acara penukaran agama beramai-ramai pencari suaka di bangunan majlis perbandaran.

Gereja Katolik Austria menerima 300 permohonan untuk pembaptisan dewasa dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, dianggarkan 70 peratus daripada mereka adalah pelarian.

Di Katedral Anglikan di Liverpool, servis mingguan dalam bahasa Parsi menarik antara 100 hingga 140 orang. Kebanyakan pelarian Iran, Afghanistan dan negara lain di Asia Tengah.

Seorang biskop dari Bradford, Toby Howarth, mengesahkan satu daripada empat saudara baru dalam tempoh setahun lalu asalnya orang Islam, kebanyakan mereka pelarian dari Iran.

- mmo


EmoticonEmoticon