jobs from my.neuvoo.com

19 Julai, 2016

Mulai 1 Julai, Penumpang dapat pampasan jika penerbangan lewat

Mavcom
PETALING JAYA: Penumpang layak mendapat makanan, panggilan telefon terhad dan akses Internet jika penerbangan ditangguh melebihi dua jam, manakala penginapan hotel dan pengangkutan perlu disediakan untuk penangguhan melebihi lima jam.

Itu antara piawaian minimum bagi memastikan hak penumpang udara terjamin di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 yang berkuat kuasa 1 Julai lalu.

Penumpang yang mengambil insurans perjalanan akan dibayar pampasan manakala mereka yang tidak membeli insurans itu turut dilindungi di bawah kod berkenaan.

Sebelum ini, pengguna hanya boleh membuat aduan kepada syarikat penerbangan atau lapangan terbang terbabit dan pelanggan tidak berpuas hati atau kes tiada penyelesaian boleh dirujuk kepada tribunal pengguna atau persatuan pengguna.

Pengarah Hal Ehwal Pengguna Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), Pushpalatha Subramaniam dipetik The Star Online sebagai berkata, kod itu tertakluk kepada semua syarikat penerbangan Malaysia dan asing yang mendarat di semua lapangan terbang dalam negara ini.

Di bawah kod itu, syarikat penerbangan perlu mendedahkan tambang penuh termasuk pecahan tambang dan cukai, tetapi mereka dilarang menambah perkhidmatan seperti insurans perjalanan atau bayaran bagasi secara automatik.

Syarikat penerbangan juga perlu menerima tempahan daripada orang kelainan upaya dan membayar pampasan bagi kelewatan penerbangan, pembatalan penerbangan, pampasan untuk bagasi rosak, hilang atau lewat tiba ke destinasi.

“Kami menggalakkan pengguna membuat aduan dengan syarikat penerbangan secara terus di lapangan terbang. Jika tiada penyelesaian dalam tempoh 30 hari, mereka boleh mengadu kepada kami,” katanya sambil menambah kira-kira 100 aduan diterima melalui www.mavcom.my sejak Mei lalu sehingga kini.

Hampir 98% aduan itu dikemukakan kepada syarikat penerbangan dan lapangan terbang terlebih dahulu dengan 95% daripada jumlah itu berjaya diselesaikan Mavcom disebabkan pengadu tidak berpuas hati dengan kaedah penyelesaian yang membabitkan isu pembayaran balik, pembatalan penerbangan dan kehilangan bagasi.

Pushpalatha berkata, satu kajian dijalankan Mavcom turut mendapati 69% responden mempunyai tanggapan salah terhadap hak-hak pengguna yang kebanyakannya berkaitan isu kelewatan dan pembatalan penerbangan, bagasi hilang dan caj tambahan.


EmoticonEmoticon