20 Julai, 2016

PAS tak perlu 'teruja' sangat keseksian Selena Gomez - MB S'ngor

Selena Gomez

SHAH ALAM, 19 Jul — Pemuda PAS tidak perlu terlalu peduli soal seksi atau tidak penyanyi terkenal Selena Gomez yang bakal mengadakan konsert di sini minggu depan, kata menteri besar.

Sebaliknya, tambah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, seseorang perlu menilai lagu dan lirik penyanyi Amerika Syarikat itu — yang dijadual mengadakan konsert “Revival Tour” di stadium tertutup di sini 25 Julai ini.

“Seksi adalah ciptaan Tuhan. Apa kita boleh buat? Ia ciptaan Tuhan,” katanya, seperti dilapor beberapa portal, selepas menghadiri majlis rumah terbuka Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini.

“Ada orang seksi, ada yang tidak seksi. Ada orang cantik, ada yang tidak cantik. Ia biasa sahaja tetapi jangan terlalu teruja tentang hal itu.

“Saya lebih tertarik pada lagu dan liriknya,” katanya seperti dilapor portal New Straits Times.

Portal-portal Berita Harian dan Free Malaysia Today, yang memetik laporan Sin Chew Daily, juga melapor kenyataan yang seumpama ini.

Beliau mengulas kenyataan pemimpin Pemuda PAS yang menggesa konsert itu dibatalkan atas alasan, antaranya, mencemarkan kemuliaan bulan Syawal saat ini.

“Sebenarnya, tiada isu bahawa konsert bakal berlangsung ini boleh mencemarkan kemuliaan Syawal yang sedang diraikan umat Islam seperti dikatakan pihak tertentu. Ini kerana, semua bulan perlu dihormati,” kata Azmin lagi.

“Namun, setakat ini MBSA masih belum menerima sebarang permohonan untuk mendapatkan permit bagi penganjuran konsert ini, tetapi MBSA akan teliti permohonan (jika ada) dan jika semua syarat dipenuhi, kita tiada masalah untuk meluluskannya,” katanya seperti dipetik Berita Harian.

Semalam, pengerusi Biro Dakwah Pemuda PAS berkata Gomez boleh “merosakkan akidah, ibadat dan akhlak umat Islam”.

“Kemunculan artis kelahiran Amerika Syarikat yang sinonim dengan penampilan seksi ini adalah mencemarkan kemuliaan bulan Syawal yang sedang diraikan dengan penuh rasa kesyukuran dan keinsafan oleh umat Islam dan menghidupkan lagi budaya hedonisme dalam kalangan generasi muda di negara ini," kata Hafez Sabri.

Beliau menggesa Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengeluarkan kenyataan bantahan atau surat rasmi bagi menyekat kehadiran Gomez, 24, bekas bintang kanak-kanak Disney.

Katanya lagi, garis panduan hiburan terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu dirujuk terlebih dahulu sebelum meluluskan sebarang penganjuran konsert.

Gomez, bekas teman wanita penyanyi Justin Bieber, bakal muncul buat pertama kali di Malaysia dalam siri jelajah konsertnya yang bermula di Amerika Syarikat Mei lalu.

Konsertnya di luar Amerika Syarikat bermula di Jakarta pada 23 Julai dan diikuti Kuala Lumpur, Singapura (27 Julai) dan Nonthaburi, Thailand (29 Julai).

Lagu popular nyanyiannya antaranya “Hands to Myself”, “The Heart Wants What It Wants” dan “Love You Like A Love Song”.

- See more at: http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/seksinya-selena-gomez-ciptaan-tuhan-mb-jawab-pemuda-pas#sthash.rZZm7d8D.dpuf


EmoticonEmoticon