29 Ogos, 2016

Kelantan Anjur Acara Bina Badan ‘Mr. Awang Selamat’ Patuh Syariah

DENGAN kebanyakkan pertandingan bina badan membabitkan golongan lelaki lebih kepada mendedahkan aurat dan bahagian-bahagian badan tertentu yang tidak dibenarkan mengikut Islam, namun lain pula bagi negeri Kelantan apabila mengambil pendekatan berbeza dengan menganjurkan acara sukan itu yang berkonsepkan patuh syariah.

Menariknya mengenai pertandingan itu yang diberi gelaran, ‘Pertandingan Badan Cantik Mr Awang Selamat’ yang dianjurkan pada 27 Ogos lalu adalah, peserta yang menyertai pertandingan berkenaan dilihat memakai seluar melepasi paras lutut dan mengenakan pemakaian kain tambahan pada pinggang.

Menerusi status yang dimuat naik ustaz Mohd Asri Mat Daud di laman Facebooknya pada Sabtu, acara berkonsepkan patuh syariah itu adalah julung kali diadakan di negeri Kelantan dan telah mewajibkan peserta mematuhi syarat untuk menutup aurat.

“Mr. Awang Selamat adalah jolokan kepada suatu nama baru dalam dunia sukan bina badan patuh syariah, ianya hanya di Kelantan.

“Cara berpakaian mestilah menutup aurat dengan seluar di bawah lutut dan pusat yang tertutup dengan kain ala pakaian pendekar Awang Selamat yang perkasa suatu ketika dahulu,” katanya dalam entri tersebut.

Katanya, acara tersebut telah mendapat sokongan kerajaan negeri Kelantan, selain turut dipuji Setiausaha Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF), Lt. Komander (B) Kamaruzaman Kadir, selaku ketua juri bagi pertandingan tersebut.

“Beliau menyatakan bahawa gaya dan produk bina badan ini akan menjadi produk peringkat kebangsaan dan seterusnya boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

“Mr. Awang Selamat turut disokong oleh pihak Kerajaan Negeri sebagai satu produk pelancongan sempena Tahun Melawat Kelantan 2016,” katanya.
Foto: Facebook Mohd Asri Mat DaudFoto: Facebook Mohd Asri Mat Daud

Pada pertandingan itu, gelaran Mr. Awang Selamat telah dimenangi Zulkifli Ghani dari Pasir Mas yang juga merupakan ahli Minda Evolusi Rempit Anak Kelantan (MERAK).

Segelintir pengguna Facebook memuji usaha kerajaan negeri Kelantan, di bawah pentadbiran parti PAS yang memberi sokongan dan membenarkan acara berkonsepkan patuh syariah itu diadakan di negeri berkenaan.

“Tahniah kerajaan Negeri Kelantan kerana tolong fikir Kejohanan Bina Badan yang patuh syariah,” tulis pengguna Facebook, Merak Newfort Tuff.

“Tahniah kerajaan Islam PAS Kelantan telah berjaya anjurkan sebuah model sukan bina badan yang patuh syariah. Sukan bina badan tidak salah, yang salah dedah aurat. Alterntif sebegini (konsep patuh syariah) selalunya ditakuti dan dicemburi mereka yang memusuhi Islam,” tambah Glock Mamat.

Bagaimanapun, ada juga dalam kalangan pengguna Facebook mempersoalkan konsep pertandingan tersebut yang mendakwa peserta masih gagal menutup sepenuhnya aurat mereka, selain mempersoalkan kehadiran golongan wanita pada acara tersebut.

Perdebatan mengenai aurat lelaki dan hukum menyertai acara bina badan telah dijelaskan oleh Penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus.

Memetik kenyataan beliau dalam rakaman Youtube, Azhar berkata hukum menyertai acara tersebut adalah haram sekiranya ia kerap disertai, namun jika berkonsepkan Islam, ia dibenarkan.

“Jika dibuat mengikut cara Islam, ia dibolehkan. Acara bina badan lelaki, dimana golongan perempuan tidak boleh menyaksikan acara tersebut, (dan peserta) lelaki memakai seluar (menutup bahagian) lutut sampai ke pusat, atas boleh dibuka (didedahkan,” katanya dalam rakaman tersebut.


EmoticonEmoticon