03 Ogos, 2016

Lelaki tawar seks kepada bakal pengantin ditahan

Sekadar gambar hiasan
KUALA LUMPUR 2 Ogos - Akibat menawarkan perkhidmatan seks kepada seorang ahli perniagaan warga Sri Lanka bulan lalu, seorang lelaki yang juga bakal pengantin didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

P.Ravintheran, 38, turut didenda RM300 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan kedua iaitu gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri kepada polis untuk pemeriksaan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang bekerja sebagai penjaga tempat letak kereta didakwa telah menawarkan perkhidmatan seks dengan bayaran RM400 kepada seorang lelaki, Thirunamam John Browsom, 40, di Arab Bar, Jalan Changkat Bukit Bintang di sini pada pukul 11.30 malam, 27 Julai lalu.
Pertuduhan terhadap Ravintheran dibuat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa telah gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri kepada anggota polis untuk pemeriksaan di hadapan sebuah pasar raya di Jalan Dang Wangi, di sini pada pukul 9 pagi, keesokan harinya.

Pertuduhan tersebut pula dikemukakan mengikut Peraturan 25 (1)(n) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda sehingga RM20,000.

Majistret Nur ‘Aminatul Mardhiah Mohd. Noor juga memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan 15 hari sekiranya gagal membayar kedua-dua denda berkenaan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan akan berkahwin tidak lama lagi selain perlu menjaga ibu bapa yang uzur.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd. Zamry memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang lain agar tidak melakukan kesalahan sama. - UTUSAN ONLINE


EmoticonEmoticon