16 Ogos, 2016

Menyorok belakang almari

AMPANG - Taktik seorang gadis menyorok di belakang almari kanvas bagi mengelak ditahan, gagal apabila dia berjaya dicekup Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Pegawai Masjid Al-Azim, Pandan Indah, awal pagi kelmarin.

Pasangan itu antara tujuh orang termasuk seorang perempuan yang ditahan di sebuah rumah di Taman Mawar dalam serbuan Operasi Cegah Maksiat kira-kira jam 2 pagi.

Pegawai Masjid Al-Azim, Ahmad Nawi Othman berkata, pihaknya menerima maklumat awam mengenai kegiatan maksiat yang berlaku di rumah itu.

“Kami mendapati tiga lelaki hanya berseluar pendek ketika serbuan dijalankan, manakala dua perempuan itu pula berpakaian lengkap, kesemua mereka berusia dalam lingkungan 20 hingga 25 tahun,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, gadis yang menyorok di belakang almari itu memberi alasan baru datang dan menumpang tidur di rumah kekasihnya itu kerana bapa saudaranya tiada di rumah.
“Operasi dijalankan mengikut Seksyen 29, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, jika disabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam operasi yang berasingan, seorang ibu kecewa apabila mengetahui anaknya yang berusia 18 tahun itu minum minuman keras.

Ahmad Nawi berkata, remaja itu ditahan bersama empat rakannya termasuk dua perempuan dalam sebuah kereta jenis Toyota Avanza di Bukit Langat.

“Kami mendapati tiga lelaki itu dalam keadaan mabuk, mereka di antara 13 orang yang ditahan di Bukit Langat kerana disyaki berkelakuan kurang sopan yang boleh menimbulkan syak di tempat awam,” katanya.

Beliau berkata, ibu bapa remaja berkenaan yang dipanggil ke Masjid Al-Azim terkejut apabila mengetahui anak masing-masing dalam keadaan mabuk.

“Ibu remaja terbabit tidak mengetahui anaknya itu keluar bersama rakannya setelah dimaklumkan pergi bekerja di pasar malam,” katanya.

Menurutnya, operasi tersebut dijalankan mengikut Seksyen 31, Enakmen Jenayah Syariah Jais 1995, jika disabit bersalah, boleh didenda RM1,000 atau enam bulan penjara.

“Kesemua yang ditahan itu perlu menghadiri sesi kaunseling di Masjid Al-Azim Mac ini,” katanya.


EmoticonEmoticon