jobs from my.neuvoo.com

11 Ogos, 2016

Nama Parti Bersatu Tapi Ahli, Logo Pun Bercelaru!


SESUATU disembunyikan portal berita propembangkang apabila menyiarkan sesuatu laporan cenderung ke arah kepentingan mereka ialah konon penubuhan sebuah organisasi siasah baharu yang antikerajaan disambut meriah.

Malangnya tanpa disedari, pendaftaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Putrajaya pada 9 Ogos menyerlahkan banyak tersirat daripada tersurat di sebalik penyokong totok mereka ‘gembira sakan’ seolah-olah sudah menang besar Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Hakikatnya usaha Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan permohonan parti baharu itu di ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mencetuskan banyak persoalan berbanding jawapan malahan menjadi bahan sindiran pelbagai pihak termasuk netizen yang neutral.
Antaranya Muhyiddin mengesahkan bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad ialah pengerusi parti berkenaan sekali gus membuktikan beliau menjadi ‘boneka’ kepada bekas Perdana Menteri itu secara terbuka waima diberi kedudukan istimewa sebagai presiden pertama Bersatu.
Paling lucu, meskipun parti itu mendakwa hanya untuk warganegara Malaysia Melayu dan Bumiputera termasuk di Sabah dan Sarawak, namun rakyat Malaysia bukan etnik pribumi boleh menyertainya sebagai ahli bersekutu serta mempunyai hak seperti ahli pribumi.
Nama Parti Bersatu, Tapi Ahli, Logo Bercelaru!
Kelompok bukan Bumiputera bagaimanapun tidak boleh mengundi atau bertanding mana-mana jawatan dalam parti itu, tetapi peliknya, mereka boleh pula dilantik oleh pihak kepimpinan Bersatu untuk menyandang apa-apa kedudukan dalam organisasi parti tersebut.
Bukan itu sahaja, timbul tanda tanya kenapa tidak didaftarkan dengan RoS pada 5 Ogos lalu setelah diuar-uarkan meluas dalam media sosial propembangkang sebaliknya mengejut pada 9 Ogos iaitu Hari Kebangsaan Ke-51 Singapura dipisahkan daripada Persekutuan Malaysia.
Bagi faham sejarah, pemisahan pulau kecil di selatan Semenanjung Malaysia itu menerusi usul khas Parlimen petang 9 Ogos 1965 terpaksa dilakukan Tunku Abdul Rahman demi mengelakkan ketegangan kaum antara PAP yang menguasai Singapura dengan UMNO waktu itu.
Ini bermakna 9 Ogos sebenarnya tarikh dukacita bagi umat Melayu Islam kerana kehilangan Singapura akibat isu rasis ekstrem namun ia dipilih menjadi tarikh pendaftaran Bersatu bagi mengelak masyarakat Melayu di Malaysia mengingati semula peristiwa pahit tersebut.
Adakah ini kerana secara kebetulan Bersatu mahu kerjasama dengan pewaris PAP di Malaysia iaitu DAP yang dalam perlembagaan parti pembangkang cauvinis itu jelas menyatakan jika berkuasa, segala hak istimewa Melayu dan Bumiputera dihapuskan seperti Singapura.


pas-1
KEPIMPINAN PARTI PAS BARU-BARU INI TAMPIL BERPAKAIAN PENDEKAR MELAYU, JAUH BERBEZA DENGAN PENAMPILAN IMEJ PEMIMPIN PARTI PRIBUMI BERSATU YANG BERBUSANA BARAT. – GAMBAR HIASAN

Lebih menarik, permohonan dikemukakan Muhyiddin kepada RoS kebetulan berlaku sehari sebelum hari lahir ke-69 tahun pemimpin de facto PKR, Anwar Ibrahim yang merupakan seteru kuat Mahathir apabila sering menyelar mentornya itu sebagai diktator zalim mahafiraun.
Mungkin itu kebetulan, namun lihat pula logo Bersatu langsung tiada citra jati diri Melayu apabila dikatakan hampir menyerupai lambang rangkaian klinik swasta terkenal di Malaysia, malah ada pihak lebih ‘teruk’ dakwa ia menyamai logo sebuah kelompok pro-LGBT tempatan!
Secara jujur, warna dan corak bunga raya dalam lambang Bersatu juga hampir kepada bendera Hong Kong di China selepas dipulangkan kerajaan Britain sejak 1997 bahkan ada netizen persoal, di manakah letaknya simbol Islam atau Melayu dalam lambang parti Bersatu?
Senario ini mengulangi situasi sama Parti Amanah Negara (PAN) apabila dilancarkan di Shah Alam, Selangor pada 16 September tahun lalu yang menjadi bahan jenaka netizen kerana dikatakan 99 peratus sama dengan logo sebuah stesen televisyen negeri Tamil Nadu di India.
Sekali lagi, ini mungkin juga kebetulan tetapi kalau dilihat pada nama itu sendiri, Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), mungkin ramai akan dapat lihat terlalu banyak persamaan antara kedua-duanya itu.


amanah-dan-imayam
LOGO PARTI AMANAH NEGARA YANG DIKATAKAN HAMPIR MENYERUPAI LAMBANG SEBUAH STESEN TV KURANG POPULAR BERBAHASA TAMIL DI INDIA. – GAMBAR HIASAN

Mahathir adalah perancang kepada parti baharu ini, Bersatu yang sudah memahami sikap orang UMNO bukannya mudah meninggalkan UMNO untuk bersama dengan parti lain. Lihatlah kemelut politik Terengganu sebagai contoh paling mudah untuk dijadikan renungan.
Sebagai perancang dan pengalaman sebagai Penaung Kehormat Perkasa, Mahathir ada banyak maklumat bahawa Perkasa yang ingin menjadi parti politik tetapi masih gagal akibat pelbagai faktor termasuk ditolak pihak DAP dan kaum Cina yang totok antikerajaan.
Susulan isu ini Mahathir congak jika ahli UMNO tidak berjaya ditarik ke parti baharu, beliau boleh mengharapkan puluhan ribu ahli Perkasa yang sedia ada di pelosok negara dapat menyertai parti baharunya itu atas dasar ‘kebencian’ terhadap UMNO dan Barisan Nasional.
Perancangan Perkasa menyerap dalam Bersatu sebenarnya menurut beberapa portal berita tempatan termasuk propembangkang telah diatur lebih awal lagi dan terkini pada 21 Julai lalu, apabila Datuk Ahmad Said telah dilantik menjadi Yang Dipertua Perkasa Terengganu.
Pelantikan bekas menteri besar negeri itu menggantikan Datuk Ismail Samah sebetulnya bertujuan untuk menyerap ribuan ahli UMNO yang pro-Ahmad Said dan akan bergabung pula dengan parti baharu tersebut sebagai ‘persiapan’ bagi menghadapi PRU ke-14 nanti.
Jika diimbau balik sejarah, pada 23 Julai 2010, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali pernah mencadangkan agar Perkasa menggubal satu perlembagaan untuk membolehkan mereka menubuhkan sebuah parti baharu yang mengambil kira objektif daripada Pas dan UMNO.


mm ia
PERKASA SERING DIKECAM OLEH KAUM BUKAN MELAYU SEBAGAI KUMPULAN PELAMPAU PEJUANG MELAYU YANG KENTAL JATI DIRI BANGSA MEREKA. – GAMBAR HIASAN

Pada 25 Disember 2015, Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya berkata jika mereka mahu Perkasa menjadi sebuah parti, mereka sebenarnya akan menubuhkan satu parti baharu susulan langkah UMNO bertindak ‘menjauhkan’ dirinya daripada mereka.
Secara kebetulan pada 29 Februari 2016, sebuah portal menyiarkan berita Mahathir bakal mengumumkan beliau akan meninggalkan UMNO bersama-sama Muhyiddin selain Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan beberapa orang pengikut setianya di dalam UMNO.
Ia berikutan kekecewaan mereka apabila gagal menghasut jutaan ahli UMNO ‘menggulingkan’ Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai presiden parti malah malu besar apabila calon UMNO mewakili Barisan Nasional menang besar dalam dua pilihan raya kecil baru-baru ini.
Menurut portal itu lagi, Mahathir juga akan mengumumkan Perkasa bakal ditukarkan kepada sebuah parti politik bagi meneruskan usaha beliau menyaingi kehebatan UMNO yang beliau dakwa konon tidak memperjuangkan nasib Melayu waima difitnah teruk selama ini.
Malangnya dalam mencapai cita-cita itu, Mahathir sanggup pula sekongkol dengan pembangkang menerusi inisiatif Deklarasi Rakyat yang gagal, sekali gus terpaksa mewujudkan parti baharu selepas dirinya enggan diterima menjadi pemimpin trio Pakatan Harapan. – Mynewshub.cc/HAA




EmoticonEmoticon