11 Ogos, 2016

Video seks: Berhentilah buat fitnah...

KEMAMAN - Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said tidak mahu melayan serangan yang mengaitkannya dengan video seks dan hanya mengambil pendekatan tunggu dan lihat ketika ini.

“Itu (mengenai video seks) saya tak nak komen, malaslah…(orang) serang saya macam-macam, macam kes Tan Sri Muhyiddin (Yassin) lah. Kalau (isu ini) dipanjangkan (maka) jadi berpanjanganlah. Saya (cuma) tunggu dan lihat.

“(Kalau) orang serang saya (keterlaluan), saya serang balik, itu saja. Apa untung buat (macam ini)? Kalau sampai satu tahap saya marah sangat, saya tak puas hati, saya rasa dimalukan, saya keluar Umno,” katanya ketika ditemu bual portal berita KiniTV di kediamannya di Teluk Kalong, Kijal, semalam.

Menerusi video temu bual yang turut dimuat naik dalam laman Youtube itu, Ahmad yang juga Adun Kijal turut mempersoalkan motif fitnah itu dilemparkan terhadap beliau.

“Apa tujuan dia? Nak suruh saya berhenti? Nak malukan saya? Umno tak untung apa-apa pun. OK kalau sanggup pilihan raya (negeri) kalau nak malukan saya, buatlah.

“Yang masalah (sekarang) siapa. Umno 16-16 (jumlah kerusi Dun Umno dengan pembangkang), pilihlah nak pilihan raya ke nak tukar menteri besar. Jangan mereka cerita macam-macam,” katanya.

Berikutan itu, Ketua Umno Bahagian Kemaman itu turut menasihatkan masyarakat supaya berhenti membuat fitnah, lebih-lebih lagi perkara yang melibatkan maruah seseorang.

“Kalau dulu fitnah orang mulut ke mulut…hari ini (boleh) fitnah orang dengan pelbagai cara, bayangkan macam mana maruah orang.

“Fitnah itu lebih dahsyat dari membunuh, Tuhan dah beritahu kalau kita jaga maruah orang, Tuhan akan jaga maruah kita…ni tidak macam-macam buat cerita, apa faedah dapat,” katanya kecewa.

Ahmad berkata, beliau hairan kerana timbul benda-benda pelik dalam politik negara sejak kebelakangan ini termasuk tindakan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun yang membuat laporan polis terhadap bekas Gabenor Bank Negara ,Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Memetik laporan portal The Star Online melaporkan wujud dakwaan video dan gambar seks melibatkan seorang ahli politik kanan Terengganu di mana laporan itu muncul sehari selepas spekulasi usul tidak percaya akan dibuat sekali lagi terhadap menteri besar dalam Dun yang bersidang pada tiga hari lalu.

Bagaimanapun, usaha Sinar Harian menghubungi Ahmad untuk mendapatkan komen lanjut mengenai kemungkinan beliau akan mengambil tindakan undang-undang tentang isu itu gagal kerana panggilan telefon tidak dijawab.


EmoticonEmoticon