jobs from my.neuvoo.com

21 Oktober, 2016

TMJ sindir rakyat Malaysia gembira JDT kalah

"Saya nampak lebih banyak rakyat Malaysia jadi rakyat India," demikian kenyataan pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, susulan kekalahan kelab itu kepada Bengaluru FC dari India di peringkat separuh akhir Piala AFC, malam tadi.
Kenyataan beliau itu, menerusi rakaman video dari Barcelona, dimuat naik ke laman Facebook Johor Southern Tigers selepas JDT gagal mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) memuji JDT kerana berjaya mara ke peringkat separuh akhir Piala AFC buat kali kedua berturut-turut meskipun mengakui keputusan tewas 3-1 untuk agregat 4-2, tidak memuaskan.

"Bagi saya, (ia) keputusan yang tidak begitu memuaskan tetapi saya ingin mengucapkan tahniah kepada pemain JDT kerana muncul sebagai pasukan Malaysia yang pertama berjaya mara ke separuh akhir untuk dua tahun berturut-turut," katanya.

Meskipun terkandas di peringkat separuh akhir Piala AFC di samping tidak menyasarkan Piala Malaysia sebelum ini, TMJ menegaskan kejayaan merangkul tiga kejuaraan -- Piala Sumbangsih, Liga Super dan Piala FA -- adalah satu pencapaian yang membanggakan.

Namun, Tunku Ismail mempersoalkan tindakan sesetengah rakyat Malaysia yang mengharapkan kemenangan Bengaluru berbanding menyokong JDT sebagai wakil tunggal negara di peringkat berkenaan.

"Hari ini saya nampak lebih banyak rakyat Malaysia jadi rakyat India, macam 'happy' sangat sedangkan kami pasukan JDT yang mewakili negara," tambahnya.

"Sikap lalang ini menunjukkan siapakah rakyat Malaysia.

"Saya tidak peduli apa orang lain cakap. Bagi saya, kami adalah pasukan yang paling sukses di dalam dan di luar padang.

"Satu negara kenal kami, orang luar memberi pengiktirafan kepada kami.

"Jadi, kalau ada orang lain yang sakit hati, nak mereput, peduli apa saya.

"Jangan cakap banyak, kalau tidak saya hantar 'Mat Cangkul' lain kali."

Kredit foto: Johor Southern Tigers


EmoticonEmoticon