03 November, 2016

Tiada lagi paparan lurah buah dada...

LONDON, 3 Nov — Tiada lagi imej belahan buah dada untuk dipamerkan kerana gaya ini sudah ketinggalan zaman, dakwa majalah fesyen terkemuka dunia Vogue.

Dianggap “bible” dalam dunia fesyen, majalah gaya hidup yang berpengaruh itu mengisytiharkan demikian dalam edisi terbaru yang mula beredar di pasaran hari ini, lapor The Independent.

Celah payudara yang dulunya dianggap fesyen “memberdaya seks wanita, untuk menggoda, untuk menaikkan nafsu atau hanya untuk berlagak — sudah berlalu.”

“Tiada lagi tetek untuk ditonjolkan pada lelaki. Atau, untuk sesiapa sahaja,” kata majalah bulanan yang diikuti jutaan pembaca di serata dunia dalam artikelnya Desperately Seeking Cleavage.

Artikel Kathleen Baird-Murray itu mengumumkan sudah berakhir zaman wanita dilihat sebagai objek “cuci mata” apabila pentas peragaan fesyen hingga ke karpet merah mengelak gaya tersebut.

Pakar fesyen Elizabeth Saltzman pula risau apabila masih banyak tumpuan diberikan kepada bahagian badan itu oleh pengguna media sosial.

Mengulas pelakon wanita yang berpayudara besar dengan celah dada yang jelas kelihatan, Saltzman berkata 90 peratus komen pengikut di Instagram aktres tersebut nampak soal itu sahaja.

“[Gejala] ini tidak sihat, ia menakutkan,” katanya, tanpa menyebut nama aktres berkenaan.

Penjual pakaian terkini juga mula mengabaikan trend yang menampakkan celah payudara dengan gerbang fesyen ASOS melancarkan “side-boob bra”, lapor The Independent lagi.

Jualan coli juga sudah berubah, dengan fesyen bentuk semula jadi yang lembut mendapat lebih perhatian berbanding rekaan membonjolkan aset wanita.

Dengan menyembunyikan celah dada, menurut penulis-penulis Vogue, fesyen wanita terkini beralih untuk lebih menampakkan bahu, perut dan kaki.



EmoticonEmoticon